suria

Lapan Adun Angkat Sumpah Jawatan Exco Melaka

MELAKA: Lapan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka termasuk lima muka baharu mengangkat sumpah jawatan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka pada Selasa.

Istiadat mengangkat sumpah berkenaan dilakukan di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.

Tiga Adun yang dilantik semula sebagai anggota Exco ialah Adun Ayer Molek Datuk Md Yunos Husin yang memegang portfolio Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi; Adun Asahan Datuk Wira Abd Ghafar Atan (Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek) dan Adun Telok Mas Datuk Wira Latiff Tamby Chik (Komunikasi, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi).

Lima muka baharu yang dilantik sebagai anggota Exco ialah Adun Pantai Kundor Datuk Ab Rahaman Ab Karim (Kesihatan dan Pembangunan Sukan); Adun Taboh Naning Datuk Latipah Omar (Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan) dan Adun Sungai Rambai Datuk Hasan Abd Rahman (Pertanian dan Pembangunan Usahawan).

Selain itu, Adun Kuala Linggi Datuk Ismail Othman pula dilantik Exco Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar manakala Adun Gadek Datuk M.S Mahadevan (Hal Ehwal Syarikat, Sumber Manusia dan Badan Bukan Kerajaan).

Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron memegang portfolio Kewangan, Tanah, Perancangan Ekonomi, Pelaburan dan Perindustrian, Hal Ehwal Agama, Warisan, Pembangunan Belia dan Pelancongan.

Dalam pada itu, dua kuota parti MCA dalam barisan anggota Exco dikosongkan buat sementara sehingga parti berkenaan membuat resolusi untuk kembali memegang jawatan dalam kerajaan.

Idris dalam sidang akhbar selepas istiadat itu berkata beliau akan melakukan rombakan kecil sekiranya anggota MCA menerima kembali jawatan yang ditawarkan. "Bagaimanapun saya tidak akan lupakan kawan-kawan kaum Cina, saya ketua menteri kepada semua kaum," katanya.

Mengenai barisan exconya, Idris yakin mereka akan mampu memacu Melaka ke tahap yang lebih tinggi kerana masing-masing mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam portfolio yang ditugaskan. -BERNAMA

Artikel Lain