suria

Abdul Khalid Fail Permohonan Prosiding Komital Terhadap Ahmad Said

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menfailkan permohonan kebenaran bagi memulakan prosiding komital terhadap bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Ahmad Said Hamdan dan kerajaan Malaysia.

Abdul Khalid menfailkan notis permohonan itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil melalui Tetuan S.N.Nair & Partners dengan menamakan Ahmad Said dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Abdul Khalid menfailkan permohonan itu atas alasan Ahmad Said dan kerajaan Malaysia telah menghina mahkamah kerana tidak mematuhi terma penghakiman persetujuan pada 19 Mac lepas yang dibuat kedua-dua pihak bagi menyelesaikan kes saman fitnah yang difailkan Menteri Besar itu terhadap responden.

Menurut terma itu Ahmad Said membacakan kenyataan permohonan maaf terhadap Abdul Khalid berhubung kenyataan yang diberikannya yang kemudiannya diterbitkan pada 21 Februari 2009 oleh pihak media.

Responden juga dalam masa empat hari daripada tarikh 19 Mac itu hendaklah menerbitkan kenyataan permohonan maaf terbabit di muka hadapan akhbar New Straits Times dan The Star serta membayar kos RM10,000 kepada Abdul Khalid. Abdul Khalid mendakwa kedua-dua responden sehingga hari ini gagal menerbitkan permohonan maaf dan juga membayar kos itu.

Pada 27 April 2009 Abdul Khalid menyaman Ahmad Said dan kerajaan Malaysia berhubung kenyataan Ahmad Said mengenai hasil siasatan suruhanjaya itu mengenai dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh Abdul Khalid berkaitan penyelenggaraan kereta peribadinya dan pembelian 46 ekor lembu bagi Hari Raya Aidiladha untuk kawasan Parlimen Bandar Tun Razak yang diwakili Abdul Khalid.

Kes saman itu selesai selepas kedua-dua pihak mencapai penghakiman persetujuan dengan Ahmad Said membacakan kenyataan maaf itu di mahkamah. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain