suria

Abdul Gani Perjelas Kekeliruan Berkaitan ESSZONE, ESSCOM

KOTA KINABALU: Peraturan-Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013 mengiktiraf Jawatankuasa Zon Selamat Sabah Timur sebagai pihak berkuasa utama bagi Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), kata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Beliau berkata jika orang ramai keliru sama ada merujuk operasi keselamatan di pantai timur Sabah kepada ESSZONE atau ESSCOM, mereka boleh merujuknya kepada jawatankuasa berkenaan sebagai entiti utama yang mentadbir keseluruhan operasi keselamatan.

"Bahagian 2 Peraturan 5 Subperaturan 1 (Peraturan-Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013) menyatakan bahawa satu jawatankuasa ditubuh dan dikenali sebagai Jawatankuasa Zon Selamat Sabah Timur.

"Selepas itu, anda ada ESSZONE, yang terpakai di 10 daerah (Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau) sebagai asas pelaksanaan, dan ESSCOM yang merupakan ejen penguatkuasaan yang meliputi 10 daerah berkenaan," katanya pada sidang akhbar berkaitan Persidangan Transformasi Politik berhubung keselamatan Sabah dan ESSZONE yang akan diadakan esok.

Abdul Gani berkata jawatankuasa itu, yang diketuai Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, akan turut dipantau oleh jawatankuasa pengawasan yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata jawatankuasa pengawasan akan melihat pelaksanaan dan prestasi Jawatankuasa Zon Selamat Sabah Timur. "Jawatankuasa itu mungkin akan memberi nasihat dan arahan berhubung apa yabng harus dilakukan untuk kebajikan rakyat di Sabah.

"Ini menunjukkan Perdana Menteri prihatin terhadap keselamatan penduduk di pantai timur negeri itu," katanya.

Mengulas persidangan itu, Abdul Gani dan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dijadual memberi ceramah berkaitan keselamatan dan pelaksanaan undang-undang di Sabah, terutama di pantai timur.

Beliau berharap maklum balas orang ramai pada persidangan itu akan memastikan kelancaran operasi keselamatan di pantai timur.

Abdul Gani juga berkata Musa akan merasmikan persidangan itu dan melancarkan buku bertajuk 'Putting to Rest the Claim to Sabah by the Self-Proclaimed Sultanate of Sulu' tulisan beliau sendiri. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain