suria

Cadangan Seorang Jururawat Satu Sekolah - Liow

BENTONG: Kementerian Kesihatan bercadang menempatkan seorang jururawat di setiap sekolah dalam usaha membantu pelajar meningkatkan kesedaran penjagaan kesihatan diri.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata buat masa ini pihaknya masih membincangkan perkara itu dengan Kementerian Pelajaran di mana buat permulaan, program itu akan dimulakan di sekolah rendah.

"Cadangan seorang jururawat di sekolah ini dilihat boleh membantu para pelajar menjaga kesihatan dan kebersihan diri selain cara pemakanan mereka.

"Sebelum ini, jururawat hanya datang ke sekolah untuk mengajar pelajar cara gosok gigi dan sebagainya, selepas ini pelajar boleh terus merujuk kepada jururawat yang ditempatkan di sekolah masing-masing sekiranya berdepan dengan masalah kesihatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan 'Program Dapat Ajar Semua Subjek A (Dasar) Dalam Peperiksaan Awam bagi Parlimen Bentong' di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bentong di sini, Sabtu.

Beliau berkata selain itu kementeriannya juga bercadang memperkenalkan subjek berkaitan kesihatan bagi meningkatkan kesedaran pelajar dalam aspek kesihatan termasuk menangani tekanan dalam pelajaran.

Liow yang juga anggota Parlimen Bentong berkata tekanan kini dilihat sangat serius dalam kalangan pelajar dan beliau berharap subjek itu dapat membantu mereka berdepan dan menangani tekanan dengan bijak.

"Masalah mental dalam kalangan pelajar kini meningkat dan untuk itu pelajar perlu didedahkan dengan keupayaan menangani tekanan manakala guru pula perlu membimbing mereka bagaimana cara mengatasi tekanan itu," katanya.

Menurutnya antara punca tekanan dalam kalangan pelajar adalah daripada ibu bapa dan guru yang mahukan pelajar memberikan keputusan cemerlang dalam setiap subjek walaupun sedar ia di luar kemampuan pelajar.

Katanya ibu bapa sepatutnya menanamkan minat belajar di dalam diri mereka dengan cara yang betul manakala guru perlu sentiasa kreatif dan inovatif ketika mengajar, bukannya terlalu menekan pelajar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain