suria

Pemerdagangan Bayi: Suri Rumah Dipenjara 14 Tahun

SHAH ALAM: Seorang suri rumah berusia 60 tahun yang sebelum ini dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kajang terhadap tiga pertuduhan memperdagangkan tiga bayi, dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini, Rabu.

Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah menjatuhi hukuman itu terhadap Lim Kim Wan selepas mengetepikan keputusan mahkamah sesyen pada 13 April 2012.

Pihak pendakwaan memfailkan rayuan ke mahkamah tinggi pada 20 April 2012 untuk mengetepikan keputusan itu.

Pada 17 Mei 2010, Lim mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan memperdagangkan dua bayi lelaki dan seorang bayi perempuan, kesemuanya berumur lima bulan, di sebuah rumah di Taman Jenaris 2, Hulu Langat, pada 31 Julai 2009 dan 3 Ogos 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara antara tiga dan 20 tahun serta denda.

Abdul Alim turut menolak permohonan Lim bagi penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di mahkamah rayuan.

Dalam penghakimannya, beliau berkata tertuduh mempunyai lingkaran jaringan yang sangat baik untuk membolehkannya melakukan jenayah itu.

"Wang adalah sumber kejahatan anda. Sungguhpun anda silap dengan menyangkakan anda telah menggembirakan pasangan yang tidak mempunyai anak, anda telah memusnahkan keturunan bayi tidak berdosa dengan mendorong sepanjang hayat mereka untuk mempercayai bahawa mereka adalah anak kandung pasangan yang bukan ibu bapa mereka yang sebenar," katanya.

Punca rangkaian ini termasuk pasangan tanpa anak itu sendiri, katanya dan menambah, mereka tidak kurang juga dianggap bersalah dan mesti disiasat serta dihadapkan ke muka pengadilan.

Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong mewakili pendakwaan manakala peguam Muhammad Affendy Mohd Yusuf mewakili Lim. - BERNAMA

Artikel Lain