suria

Polis Tumpaskan Sindiket Penipuan Antarabangsa Warga Afrika

KUALA LUMPUR: Beberapa syarikat asing dilaporkan mengalami kerugian RM1.86 juta setelah terpedaya dengan urusniaga yang dikendalikan sekumpulan lelaki Afrika yang menyamar dengan menggunakan nama sebuah syarikat pengeluar sarung tangan getah pembedahan tempatan terkemuka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata syarikat itu termasuk dari Australia, India, Greece dan Libya yang menerima kerugian setelah tidak menerima barangan selepas membuat bayaran.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati sindiket itu yang beroperasi di Nilai, Negeri Sembilan menggunakan nama syarikat itu tetapi mengubah alamat dan nombor telefonnya.

"Kita terima 15 aduan daripada syarikat pengeluar sarung tangan itu setelah menyedari suspek menggunakan identitinya," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Beliau berkata hasil aduan syarikat itu, polis menyerbu sebuah rumah di Nilai Sabtu lepas dan menahan lima lelaki berusia antara 27 dan 31 tahun.

Menurutnya polis turut merampas beberapa komputer riba dan telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk mengendalikan kegiatan itu.

"Terdapat invois yang menjadi bukti kegiatan mereka di dalam komputer itu. Nombor telefon mangsa juga tercatit di dalam telefon yang dirampas," katanya.

Syed Ismail berkata polis juga menerima 49 aduan menerusi e-mel dan dari pejabat perwakilan Malaysia di luar negara berhubung kegiatan tersebut.

Kesemua suspek direman sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu melibatkan harta.

Dalam perkembangan lain, Syed Ismail berkata polis menahan lima lelaki dan tiga wanita warganegara Afrika yang terlibat dalam penipuan perbankan Internet di dua premis di Subang Jaya pada 31 Oktober dan 1 November lepas.

Kesemua suspek yang berumur antara 22 dan 28 tahun adalah pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di ibu negara dan mereka ditahan reman sehingga 20 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 dan 511 Kanun Keseksaan kerana menipu, katanya.

Menurutnya polis turut merampas tujuh komputer riba, 15 telefon bimbit, sebuah I-pad, dua 'external hard disk', tiga buah pendrive, sebuah 'Magic Jack' (alat membuat panggilan telefon menggunakan Internet), dua buah 'Wireless Router' serta dua kad ATM daripada mereka.

Syed Ismail berkata modus operandi suspek ialah dengan membeli barangan mewah termasuk pakaian, beg dan tas tangan wanita secara online dengan menggunakan maklumat kad kredit mangsa.

"Selepas transaksi pembelian dan tempahan secara online dibuat, suspek akan menggunakan alamat rumah suspek dan rakan suspek untuk proses penghantaran.

"Suspek kemudian akan menjual barangan itu kepada rakan-rakannya dengan harga lebih rendah," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain