suria

35 IPT Terima Penarafan Cemerlang

SHAH ALAM: Sebanyak 35 institusi pengajian tinggi (IPT) meliputi universiti dan kolej universiti menerima pengiktirafan cemerlang menerusi Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi pada tahun 2011 (Setara '11).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Setara bertujuan untuk meningkatkan kualiti, kebertanggungjawaban dan prestasi universiti dan kolej universiti di Malaysia.

"Dari segi pencapaian, sebilangan besar universiti dan kolej universiti menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan dalam Setara '11 berbanding pencapaian mereka dalam Setara '09.

"Ini menggambarkan dalam tempoh dua tahun tersebut IPT mengambil berat tentang kualiti pengajaran dan pembelajaran di institusi masing-masing serta memperkenalkan inisiatif berkaitan untuk membudayakan penambahbaikan kualiti berterusan di peringkat institusi masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena sambutan Hari Ulang Tahun Kelima Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) di sini, Khamis.

Mohamed Khaled berkata, peningkatan peratus pencapaian IPT dalam tahap lima ketara daripada 38.3 peratus dalam Setara '09 dengan 18 IPT kepada 67.3 peratus (35 IPT) dalam Setara '11.

"Ini merupakan perkembangan yang amat positif dan menunjukkan IPT semakin serius dalam meningkatkan kualiti bidang pengajaran dan pembelajaran mereka di peringkat Ijazah Sarjana Muda," katanya.

Beliau menambah, pencapaian IPT dikategorikan kepada enam tahap dengan tahap enam iaitu 'Terbilang' sebagai tahap tertinggi dan tahap satu iaitu 'Lemah' sebagai paling rendah.

"Sebanyak 16 universiti dan kolej universiti menduduki tahap empat iaitu sangat baik, dan hanya sebuah universiti pada tahap tiga (Baik).

"Tiada universiti atau kolej universiti yang mencapai tahap Terbilang dan juga dikategorikan pencapaiannya pada tahap dua iaitu memuaskan dan tahap satu (Lemah)," katanya.

Menurut Mohamed Khaled, pendekatan penarafan (rating) itu menilai sejauh mana sesebuah institusi mencapai penanda aras yang ditetapkan bagi setiap indikator kualiti.

"Penarafan tidak bertujuan untuk memberi kedudukan (ranking) tertentu kepada institusi yang dinilai berbanding institusi lain," katanya.

Tambahnya lagi, instrumen Setara '11 terbahagi kepada tiga aspek iaitu input sebanyak 20 peratus, proses (40 peratus) dan output (40 peratus) dalam pengajaran dan pembelajaran.

"Penilaiannya melibatkan 26 kriteria dan 62 indikator yang secara amnya adalah hampir sama dengan instrumen Setara '09," kata Mohamed Khaled.

Artikel Lain