suria

Polis Buru Lelaki Disyaki Bunuh & Tanam Kanak-Kanak

SEREMBAN: Seorang lelaki dipercayai mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sehingga mati di sebuah rumah di Taman Kuang Tong di sini Julai lalu dan kemudian menanam mayat anak teman wanitanya itu di belakang rumah tersebut.

Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh berkata mayat kanak-kanak itu hanya ditemui Jumaat lalu kira-kira empat bulan selepas mayatnya ditanam.

"Ibu mangsa tidak mampu menghalang perlakuan teman lelakinya itu selepas dia diugut dan dikurung di dalam rumah berkenaan. Namun ibunya berjaya melarikan diri pada Jumaat lalu sebelum membuat laporan polis," katanya pada satu sidang media di sini.

Beliau berkata, polis kemudiannya menyerbu rumah terbabit dan berjaya menemui mayat kanak-kanak itu, namun lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Khalid Redza Shuaib, 30, dan tidak bekerja sudah melarikan diri.

Osman berkata, wanita itu mendakwa anaknya sering didera oleh lelaki terbabit di rumah yang disewa pasangan berkenaan.

Pada 3 Julai lalu, wanita itu mendakwa anaknya tiba-tiba nazak selepas didera sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, dan lelaki itu yang panik bertindak menanam mayat kanak-kanak itu di belakang rumah pada waktu tengah malam hari yang sama, katanya.

Beliau berkata, wanita itu terpaksa menunggu sehingga Jumaat lalu untuk mendapatkan bantuan kerana dikurung di dalam rumah itu selain telefon bimbitnya juga dirampas oleh lelaki terbabit.

"Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk bedah siasat dan kita masih menunggu laporan bedah siasat berkenaan dan sedang mengesan teman lelaki wanita itu," kata Osman.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Artikel Lain