suria

Rosmah Seru Wanita Saling Menyokong Dalam Perniagaan

ISTANBUL: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, menyeru delegasi yang menyertai Sidang Kemuncak Wanita Global 2011 di sini untuk menyokong wanita lain yang sama-sama dalam bidang perniagaan dengan berkongsi kepakaran dan maklumat sambil memberi peluang untuk pengalaman antarabangsa.

Beliau berkata usahawan wanita harus mengambil peluang ekonomi yang lebih luas dan cuba berkembang ke pasaran serantau seperti negara-negara Asean, China, India, negara-negara Organisasi untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dan dunia Islam.

Beliau berkata wanita harus berani meneroka lebih jauh dalam industri perkhidmatan dan industri berasaskan ilmu pengetahuan seperti komunikasi, pelajaran dan pelancongan.

"Mereka harus menggunakan sepenuhnya Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) dan e-perdagangan untuk mendekati pelanggan, yang pada masa yang sama membolehkan mereka memberi perhatian kepada keluarga," katanya kepada kira-kira 1,000 peserta dari 81 negara yang menghadiri sidang kemuncak tersebut.

Yang lebih penting, Rosmah berkata wanita harus mengkaji produk teknologi hijau yang kini menjadi perhatian berikutan kesedaran pengguna mengenai alam sekitar yang kian meningkat.

"Wanita dalam bidang perniagaan tidak harus berpuas hati sekadar pada peringkat domestik. Saya percaya usahawan wanita abad ke-21 akan menjadi pendorong transformasi penting dalam inovasi dan penciptaan peluang pekerjaan untuk pertumbuhan ekonomi," katanya pada majlis pelancaran sidang kemuncak itu.

Dalam ucapannya, beliau juga berkongsi beberapa faktor kritikal yang telah menyumbang kepada kejayaan wanita Malaysia dalam perniagaan dan ekonomi.

Rosmah, yang juga patron Program Permata Negara berkata akses kepada pelajaran, bermula dari kecil hingga ke universiti adalah faktor yang paling penting.

Selain pendidikan formal, Rosmah berkata terdapat juga peluang lain untuk pemerkasaan diri, sebagai contoh, SME Corporation telah membantu usahawan wanita dari segi skim kewangan dan sokongan kemudahan yang diberikan oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

Beliau juga berkata agensi kredit mikro, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), telah semenjak 1987 membantu meningkatkan perniagaan lebih 200,000 usahawan wanita dalam tiga sektor ekonomi utama iaitu perkhidmatan, perladangan dan perkilangan.

"Program perniagaan dan pengetahuan keusahawanan membantu wanita mendapatkan kemahiran, keyakinan dan peluang untuk meningkat dan mengembangkan perniagaan mereka.

"Mereka juga menyediakan perkhidmatan kaunseling, pembiayaan, maklumat pasaran dan akses serta jaringan perniagaan yang amat penting bagi pembangunan perniagaan," katanya.

Rosmah berkata sungguhpun penyertaan sebagai eksekutif korporat pada pengurusan atasan dan Lembaga Pengarah masih rendah di Malaysia, wanita semakin menjadi tenaga penting dalam keusahawanan.

"Mereka mendominasi sektor utama ekonomi seperti kesihatan, kerja-kerja sosial, dan pendidikan. Ada di antara mereka yang terlibat dalam perniagaan yang dahulunya dikatakan 'tidak sesuai' untuk wanita seperti pembinaan, keselamatan, minyak dan gas, kejuruteraan dan perkapalan," kata beliau. -BERNAMA

Artikel Lain