suria

27 Wakil Rakyat Didakwa Di Mahkamah Sejak 2001

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat pada Rabu diberitahu bahawa seramai 27 orang wakil rakyat dari pelbagai parti politik telah didakwa di Mahkamah Jenayah atas pelbagai pertuduhan dan kesalahan sejak tahun 2001.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara, 16 wakil rakyat pembangkang manakala 11 dari Barisan Nasional (BN) telah didakwa setakat ini.

Daripada 16 wakil rakyat pembangkang itu, sembilan adalah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), tiga dari Pas dan empat dari DAP.

Antara mereka yang didakwa ialah Mat Shuhaimi Shafiei (PKR), Chua Tian Chang (PKR), N. Gobalakrishnan (PKR), Mohamed Azmin Ali (PKR), Lo'lo Mohamad Ghazali (PAS), Mohd Hatta Md Ramli (PAS), Voon Lee Shan (DAP) dan Tony Pua (DAP), katanya ketika menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut).

Bagi BN pula, Nazri berkata tujuh wakil rakyat daripada 11 orang yang didakwa ialah dari UMNO, seorang dari Gerakan dan tiga dari MCA.

"Berdasarkan statistik tersebut, sebanyak 33 jumlah kes yang telah dituduh, satu kes adalah di peringkat sebutan, 13 kes adalah di peringkat perbicaraan, dua kes di peringkat hujahan dan dua kes telah dijatuhkan hukuman," katanya.

Katanya, sembilan kes telah dilepaskan dan dibebaskan dan terdapat 10 rayuan dibuat terhadap kes yang telah dibicarakan. -BERNAMA

Artikel Lain