suria

Mohd Ali Umum Portfolio Baru Anggota Exco Berkuatkuasa 1 April

MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengumumkan pertukaran portfolio semua Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) bertujuan untuk semangat kerja baru bagi melicinkan pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau berkata, pertukaran portfolio baru itu berkuatkuasa 1 April ini dengan tambahan dua portfolio baru iaitu teknologi hijau dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Rombakan jawatan Exco, tanpa menggugurkan penyandang sebelum ini juga bersesuaian dengan hasrat transformasi Melaka bergerak ke arah negeri hebat, berteknologi hijau dan berpendapatan tinggi menjelang 2020," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Seri Negeri di sini, Rabu.

Katanya rombakan baru itu, kali pertama selepas pilihan raya umum tiga tahun lepas pada 2008, turut memberi peluang kepada semua anggota Exco mencuba kebolehan masing-masing di tempat baru.

Melaka mempunyai 10 orang anggota Exco iaitu tujuh daripada Umno, dua (MCA) dan satu (MIC).

Mohd Ali berkata, beliau akan memegang portfolio Tanah, Kewangan, Perancangan Ekonomi, Teknologi Hijau, Sains dan Teknologi.

"Penekanan Melaka sebagai negeri teknologi hijau juga selaras dengan keputusan kerajaan persekutuan supaya Melaka dijadikan model pertama, negeri teknologi hijau di Malaysia," katanya.

Beliau melepaskan portfolio Hal Ehwal Agama Islam, jawatankuasa yang kebiasaanya dipegang oleh Ketua Menteri dan kini disandang oleh Datuk Yaakub Md Amin yang sebelum ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia.

"Portfolio agama adalah jawatankuasa penting yang mempunyai lebih 1,000 kakitangan dan walaupun saya tidak lagi memegang portfolio itu, saya masih memegang jawatan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Yaakub sebagai timbalan pengerusi MAIM," katanya.

Beliau berkata Pengerusi MCA Melaka, Datuk Gan Tian Loo, sebelum ini adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri kini dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Belia dan Sukan Negeri.

Katanya, Gan, 39, sebagai orang muda diharap akan meningkatkan prestasi Melaka sebagai negeri pendidikan yang mempunyai lapan buah universiti beroperasi di sini di samping melonjakkan pencapaian sukan negeri ini.

"Saya akan gunakan peluang ini sebaik mungkin dalam membantu hasrat kerajaan negeri meningkatkan mutu pendidikan dan oleh itu saya akan bertemu dengan semua pihak untuk bekerjasama ke arah itu," katanya kepada pemberita.

Sementara itu, anggota Exco baru, Datuk Ghazale Muhamad, 55, yang menggantikan Allahyarham Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan pula memegang portfolio Penerangan, Pengangkutan dan Pengguna.

Jawatan itu yang sebelum ini dipegang oleh Pengerusi MIC Melaka, Datuk R.Perumal yang kini menyandang jawatan Pembangunan Desa dan Pertanian yang sebelum ini disandang Mohamad Hidhir.

Datuk Ab Karim Sulaiman pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam, Datuk Md Yunos Husin (Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar), Datuk Abdul Ghafaar Atan (Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Datuk Seet Har Cheow (Kesihatan, Pembangunan Pekan Kecil, Pemulihan Projek dan NGO).

Exco wanita tunggal, Datuk Norpipah Abdul dilantik sebagai Pengerusi Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan dan Datuk Latiff Tamby Chik (Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan).

Mohd Ali turut mengumumkan 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) lain dilantik sebagai timbalan Exco. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain