suria

Timbalan PKR Sabak Bernam, Anaknya Dan Jurukamera Diserang Dalam Pemilihan Cabang Tersebut

SABAK BERNAM: Dua beranak dan seorang jurukamera akhbar Kosmo diserang sekumpulan lelaki yang tidak dikenali semasa proses pengiraan undi pemilihan Parti Keadilan Rakyat Cabang Sabak Bernam diadakan di sini Sabtu malam.

Dalam insiden bermula 8.15 malam itu, sekumpulan lelaki dikatakan menyerang calon Timbalan Ketua Cabang Sabak Bernam, Abu Talib Bujang yang berada di dalam Dewan Tun Razak, tetapi beliau dapat mengelak serangan itu.

Bagaimanapun anaknya Mohd Fadli, 24, yang ingin menyelamatkannya telah dihentak dengan kerusi di kepala, menurut isteri Abu Talib, Siti Zubaidah Husni yang turut menyaksikan kejadian itu.

Mohd Fadli dan Abu Talib dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam dengan ambulans, kata Siti Zubaidah yang juga Setiausaha Wanita Keadilan Cabang Sabak Bernam.

Jurukamera berkenaan, Mohd Shaharani Saibi, 28, berkata beliau dikejar oleh lima orang yang tidak dikenali dan seorang daripada mereka cuba merampas kameranya menyebabkan lampu kameranya pecah. Mohd Shaharani kemudiannya melaporkan kejadian itu kepada polis.

Tinjauan mendapati kerusi di dalam dewan berkenaan berada dalam keadaan tunggang langgang sementara tiga anggota polis dilihat mengawal dewan berkenaan.

Kekecohan dan pergaduhan turut berlaku semasa pemilihan Cabang PKR Kelana Jaya malam itu di Dewan Majlis Perbandaran Subang Jaya di Seksyen 15.

Difahamkan laporan polis telah pun dibuat berhubung kejadian tersebut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain