suria

Permohonan Kaveat Anak Syed Kechik Diputus 18 Jun

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 18 Jun untuk keputusan kes anak lelaki Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary yang memasukkan kaveat terhadap ibu tiri dan dua adik perempuan tirinya bagi menghalang mereka menguruskan harta pusaka berjumlah RM400 juta tanpa merujuk kepadanya terlebih dahulu.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Suzarika Sahak menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Zulkifli Che Yong dan Azmi Tan Sri Mohd Rais yang mewakili Syed Gamal manakala peguam Datuk N. Vijay Kumar mewakili Puan Sri Sofiah Moo Abdullah, Puan Sri Sharifah Zarah dan Sharifah Munira.

Azmi yang dihubungi pemberita berkata, kes itu akan diputuskan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Dr Prasad Sando Sham Abraham.

Syed Gamal dalam permohonan kaveat yang difailkan pada 14 April lalu di Mahkamah Tinggi Sivil di sini berkata, beliau adalah waris dan anak yang sah untuk menjadi pentadbir bersama harta pusaka bapanya itu.

Dalam permohonannya, Syed Gamal yang merupakan anak lelaki tunggal Syed Kechik dengan isteri pertamanya, Zainab @ Eshah Abdullah menamakan beliau sebagai kaveator manakala ibu tirinya Sofiah Moo dan adik tirinya Sharifah Zarah dan Sharifah Munira sebagai pempetisyen.

Kemelut perebutan harta pusaka keluarga itu bermula selepas kematian Syed Kechik pada 10 April tahun lepas pada usia 80 tahun kerana sakit jantung.

Syed Kechik ialah bapa mentua Pengerusi Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, seorang bilionair yang tersenarai antara orang terkaya di negara ini.

Syed Gamal, 46, membuat permohonan kaveat itu berikutan ibu dan adik tirinya yang memfailkan petisyen memohon surat kuasa mentadbir terhadap harta pusaka Syed Kechik supaya diberikan kepada mereka, Sofiah Moo, Sharifah Zarah dan Sharifah Munira.

Dalam petisyen yang difailkan pada 15 Sept tahun lepas mereka berkata Syed Kechik tidak meninggalkan wasiat terhadap hartanya itu dan memohon surat kuasa mentadbir diberikan kepada mereka sebagai isteri dan anak-anak yang sah di sisi undang-undang. - BERNAMA

Artikel Lain