suria

MATE Tidak Ada Kuasa Isytihar Murugiah Sebagai Presiden PPP - Mahkamah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bahawa keputusan Tribunal Timbang Tara Malaysia (MATE) mengisytiharkan Senator Datuk T. Murugiah sebagai Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) yang sah adalah tidak berkesan.

Hakim Datuk Aziah Ali membuat keputusan itu dalam kamar hari ini selepas membenarkan permohonan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mengenepikan keputusan MATE tersebut.

Bercakap kepada pemberita selepas keputusan itu, peguam Murugiah, Sreekant Pillai berkata hakim membenarkan permohonan ROS itu atas alasan fungsi statutori dan bidang kuasa ROS tidak tertakluk kepada tindakan MATE.

Katanya hakim juga berkata MATE tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengisytiharkan Murugiah sebagai Presiden PPP yang sah.

Sreekant berkata beliau akan mendapatkan arahan anak guamnya sama ada mahu merayu terhadap keputusan hari ini.

Pada 24 Disember lalu, ROS memfailkan permohonan untuk mengenepikan perintah MATE bertarikh 11 Disember, 2009 bahawa Murugiah, iaitu timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, sebagai presiden PPP yang sah.

Dalam permohonan itu, ROS menamakan MATE, presidennya Datuk Munsyi Muslim Yacob, pembuat keputusan Prof Madya Datuk Abdul Halim Sidek dan Murugiah sebagai defendan.

ROS menuntut kewajipan statutori dan bidang kuasa badan itu tidak tertakluk kepada tindakan oleh MATE dan tindakan Murugiah merujuk perkara itu kepada MATE merupakan penyalahgunaan proses undang-undang, tidak sah dan terbatal.

Peguam Kanan Persekutuan Datin Azizah Nawawi dan Nadia Hanim Mohd Tajuddin bertindak bagi pihak ROS dan peguam Mohan Krishnan mewakili MATE, Muslim dan Abd Halim.

Peguam Simon Sabapathy dan James P.Monteiro bertindak sebagai pemerhati bagi PPP.

Murugiah dipecat dari PPP pada Mei 2009 selepas didakwa menggunakkan pejabat timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk menganjurkan sebuah sidang akhbar.

PPP mendakwa Murugiah telah merosakkan nama baik parti dan dia didakwa membuat kenyataan berunsur fitnah terhadap majlis tertinggi parti dan kepimpinan parti itu.

Murugiah kemudian 'dilantik' sebagai presiden pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) tetapi ROS kemudian memutuskan bahawa Datuk M. Kayveas merupakan presiden PPP yang sah. - BERNAMA

Artikel Lain