suria

Kadar Jenayah Di Kelantan Turun 346 Kes

KOTA BAHARU: Jumlah kes jenayah yang berlaku di Kelantan sepanjang Januari lepas hingga semalam turun sebanyak 346 kes kepada 6,866 kejadian, berbanding 7,212 kes yang dilaporkan tahun lepas.

Ketua Polis Kelantan SACI Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata kejayaan itu dicapai melalui kerjasama orang ramai yang mulai sedar tentang pencegahan jenayah dengan melaporkan segera kepada polis.

"Bagaimanapun ada kes-kes tertentu telah mencatat peningkatan tahun ini dibandingkan dengan tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pencegahan Jenayah anjuran Shell dan Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Program bertemakan "Polis dan Masyarakat Banteras Jenayah" bertujuan menangani jenayah samun dan rompak di stesen minyak, di mana dua kes telah dilaporkan tahun ini.

Abdul Rahim berkata daripada jumlah itu, sebanyak 3,356 kes berjaya diselesaikan dengan membabitkan penahanan 2,354 penjenayah.

Bagi kes melibatkan dadah, katanya, sehingga semalam, seramai 7,226 orang ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Penyalahgunaan Dadah dan Langkah-langkah Pencegahan melibatkan belia berusia antara 18 dan 35 tahun. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut