suria

Isu perkauman boleh merosakkan pembinaan negara bangsa - Hishammuddin

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, isu perkauman mampu merosakkan pembinaan sebuah negara bangsa apatah lagi jika ia digunakan sebagai senjata dalam kempen pilihan raya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan pihak tertentu yang dikatakan akan menggunakan isu perkauman dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Kata Hishammuddin, permainan isu perkauman digunakan hanya untuk merelisasikan kepentingan politik pihak tertentu.

“Isu perkauman yang digunakan dalam konteks politik untuk menakut-nakutkan pihak tertentu mesti ditangani dengan program-program yang sesuai.

“Jika kita tangani isu seperti ini dengan baik saya percaya majoriti rakyat di negara ini tidak akan terikut-ikut dengan budaya sedemikian,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau akan memberi amaran kepada pihak-pihak tertentu untuk tidak menggunakan isu perkauman, Hishammuddin berkata: “Nak beri amaran pun landskap politik telah berubah. Ada kepayahan untuk mengenal pasti dan mendakwa mereka yang menggunakan isu perkauman di internet.

"Namun kita tetap tegas dan konsisten dalam menangani isu ini tanpa mengira apa jua batas politik mereka.”

Pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang diadakan berikutan kematian penyandangnya Azman Mohamad Noor, pada 4 September lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang akan diadakan pada 11 Oktober ini dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 3 Oktober.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain