suria

Pemuda Gerakan buat laporan SPRM terhadap Guan Eng

PULAU PINANG: Pemuda Gerakan Pulau Pinang pada hari Khamis membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tindakan Ketua Menteri, Lim Guan Eng berpindah ke banglo mewah di Jalan Pinhorn di sini berikutan kediaman rasminya dirosakkan anai-anai.

Naib Ketuanya, H'ng Khoon Leng berkata pihaknya membuat laporan berkenaan di sini selepas Lim enggan menjawab pelbagai persoalan berhubung isu banglo mewah itu.

Beliau berkata, pihaknya telah menyerahkan semua maklumat yang dikumpul berkaitan rumah berkenaan untuk diteliti oleh SPRM.

"Kami harap SPRM akan menjalankan siasatan segera berhubung segala keraguan mengenai banglo itu," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan laporan berkenaan kepada wakil SPRM.

Turut hadir ialah Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong.

Sebelum ini, Pemuda Gerakan Pulau Pinang memberi kata dua kepada Lim agar mengemukakan penjelasan yang logik berhubung tindakannya berpindah ke banglo berkenaan atau pihaknya akan membuat laporan kepada SPRM.

Bagaimanapun, sehingga tamat tempoh itu semalam Ketua Menteri masih enggan menjawab segala persoalan sebaliknya menyifatkan tindakan Pemuda Gerakan itu sebagai "kanak-kanak tadika".

"Kita telah beri tempoh kepada Lim untuk menjawab segala persolan yang ditanya, beliau bukan sahaja enggan menjawabnya sebaliknya dengan angkuh menggelar kami "kanak-kanak tadika", kata H'ng.

Beliau menegaskan bahawa laporan kepada SPRM itu bukan berniat untuk menfitnah, menuduh atau menganiaya Lim sebaliknya ia menepati prinsip cekap, akauntabiliti dan telus (CAT) yang dilaung-laungkan oleh Ketua Menteri itu.

Katanya tindak-tanduk Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP itu, mengelak daripada menjawab isu berkenaan telah menimbulkan pelbagai spekulasi dan kebenarannya harus diketahui. BERNAMA

Artikel Lain