suria

Kajian saintifik kenal pasti punca bukan Melayu kurang sertai sektor awam

TAWAU: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Malaysia akan menjalankan kajian berasaskan data saintifik dan akademik bagi mengenal pasti punca kurangnya permohonan daripada kaum bukan Melayu menyertai perkhidmatan awam.

Setiausaha SPA, Datuk Lamien Sawiyo berkata, kajian seumpama itu penting memandangkan pandangan banyak pihak berhubung masalah itu hanya berdasarkan persepsi.

"Sebenarnya, kita di SPA telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk meningkatkan penyertaan kaum bukan Melayu dalam Perkhidmatan Awam dan jawatankuasa ini dipengerusikan oleh timbalan pengerusi SPA.

"Salah satu langkah yang telah dikenal pasti ialah untuk menjalankan kajian persepsi psikologi dan kita telah berunding dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk melaksanakan kajian ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Pameran Kerjaya dan Hari SPA Bersama Pelanggan di SJK(C) Sin Hwa di sini hari ini.

Program berkenaan berakhir esok.

Pada masa ini, SPA sedang menyediakan termaterma kajian yang bakal digunakan untuk dibincangkan dengan EPU sebelum kajian itu dijalankan yang mungkin siap dalam masa setahun dan dilaksanakan oleh pihak berkecuali termasuk pihak universiti.

Ia akan dimulakan sebaik sahaja urusan dengan EPU selesai.

"Kita mahu mengetahui apakah yang menyebabkan golongan kaum bukan Melayu kurang berminat menyertai kerajaan. Selama ini tidak ada kajian khusus. Jadi ini merupakan satu percubaan untuk mengenal pasti secara saintifik dan akademik apakah sebab sebenarnya, kaum bukan Melayu tidak menyertai sektor awam.

"Apakah kerana gaji, apakah kerana budaya ataupun memang mereka lebih suka berniaga," katanya.

Sementara itu, Lamien berkata, pameran kerjaya dan hari SPA bersama pelanggan yang antara lain bagi menarik kaum bukan Melayu menyertai sektor awam menampakkan kesan positif apabila jumlah pemohonan yang diterima daripada kaum berkenaan terus meningkat.

Katanya jumlah permohonan daripada kaum Cina meningkat kepada 15,415 dalam tempoh Januari hingga September tahun ini berbanding 12,875 sepanjang tahun lalu dengan permohonan kaum India pula meningkat kepada 24,491 dalam tempoh yang sama tahun ini berbanding 18,553 sepanjang tahun 2007.

Dalam tempoh itu, jumlah permohonan yang diterima daripada kaumkaum di Sabah juga meningkat kepada 57,177 berbanding 49,079 sepanjang tahun lalu.

Katanya setakat September tahun ini, SPA menerima 917,111 permohonan berbanding 760,840 orang sepanjang tahun lalu.

Lamien juga berkata mulai 1 Januari 2009, semua permohonan jawatan dalam perkhidmatan awam akan dilakukan secara 'Online' berikutan sambutan yang menggalakkan. BERNAMA

Artikel Lain