suria

Hotel mewah pilihan bintang ternama terbakar, 100 orang dipindahkan

Bomba ambil masa lima jam untuk padam kebakaran. -Foto i7ian5

SERAMAI 140 anggota bomba mengambil masa lebih lima jam untuk memadam kebakaran di sebuah hotel mewah di Marylebone, tengah London pada Jumaat.

Kejadian yang berlaku di hotel terkenal Chiltern Firehouse itu menyebabkan 100 tetamu serta kakitangannya terpaksa dipindahkan serta-merta.

Chiltern Firehouse sepatutnya menjadi lokasi parti Netflix bagi majlis anugerah Bafta pada Ahad, namun pemiliknya, Andre Balazs, berkata ia akan "ditutup sehingga diberitahu kelak".

Balazs berkata, punca kebakaran masih belum diketahui, tetapi pihak bomba sedang menjalankan siasatan.

"Kami mengesahkan tiada sesiapa yang cedera dan semua tetamu serta kakitangan dipindahkan dengan selamat," tambahnya.

Video di media sosial menunjukkan anggota bomba menggunakan kren untuk menyembur air ke arah api yang marak di bahagian atas bangunan.

Menurut Briged Bomba London, kebakaran bermula di sistem saluran udara sebelum merebak dari tingkat bawah ke bumbung hotel empat tingkat itu.

Bomba bagaimanapun berjaya menghalang api daripada merebak ke bangunan berdekatan.

Untuk rekod, hotel itu pernah menerima kehadiran bintang ternama seperti Dua Lipa, Lady Gaga, Tom Cruise dan Johnny Depp. - Agensi.

Artikel Lain