POLIS menahan seorang wanita kerana memalsukan identiti sebagai anggota polis dalam kejadian sekitar terminal bas di Mor Chit, Bangkok, Thailand pada Khamis. Pada mulanya, seorang lelaki membuat laporan polis selepas dirinya terjebak dengan penipuan cinta. Menurut mangsa itu, dia menjalinkan hubungan romantis dengan wanita yang memperkenalkan nama palsunya sebagai Phitchayanit Boonyaratkalin menerusi aplikasi janji temu pada penghujung tahun 2023. Wanita terbabit yang nama sebenarnya adalah Fatina Nanta-ariyakun, 21, turut mendakwa dirinya merupakan pegawai polis. Fatina memberikan bukti yang kelihatan meyakinkan seperti gambar dirinya dalam pakaian seragam polis serta dokumen rasmi yang tertera namanya sehingga menyebabkan mangsa mempercayai penipuan tersebut. Selepas beberapa bulan bersama, Fatina meminta sejumlah wang daripada mangsa kerana mendakwa sedang mengandungkan anaknya. Fatina melampirkan beberapa dokumen perubatan hospital untuk memaksa mangsa memenuhi tuntutannya. Bagi menyedapkan hati mangsa, Fatina berjanji untuk membayar semula hutangnya. Fatina kemudian menghilangkan diri dan menyekat mangsa di semua platform media sosial, mangsa dilaporkan mengalami kerugian sekitar 400,000 baht (RM52,000). Fatina juga difahamkan berkahwin dengan seorang anggota tentera Thailand menggunakan wang yang diambil daripada mangsa. Ketika ditahan di terminal bas, polis menemukan beberapa dokumen, gambar dan pakaian seragam polis di dalam beg Fatina Apabila disoal siasat, polis bertanyakan kepada Fatina apakah motif di sebalik perbuatannya itu. "Saya rasa ia sangat menyeronokkan," jawabnya ringkas. -Agensi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube