suria

Gempar cubaan bunuh, PM Slovakia kritikal ditembak beberapa kali

Pegawai membawa Robert Fico masuk ke dalam kereta selepas insiden tembakan. -Foto REUTERS

PERDANA Menteri Slovakia, Robert Fico berada dalam keadaan kritikal di hospital pada Rabu selepas beliau ditembak beberapa kali dalam insiden cubaan bunuh.

Tembakan itu berlaku selepas mesyuarat kerajaan di bandar Handlova di tengah Slovakia.

Suspek lelaki bersenjata merupakan antara sekumpulan kecil orang awam yang menunggu bagi menyambut perdana menteri itu di jalan di luar pusat kebudayaan, tempat mesyuarat tersebut berlangsung, lapor media tempatan.

Rakaman dari tempat kejadian menunjukkan perdana menteri yang cedera dimasukkan ke dalam kenderaan oleh beberapa pegawainya, sebelum bergegas meninggalkan tempat kejadian.

Fico pada mulanya dikejarkan ke hospital dan kemudian dibawa menaiki helikopter ke pusat trauma utama di Banska Bystrica, sejauh kira-kira 30 kilometer.

Menerusi kenyataan yang disiarkan di laman Facebook rasmi Fico dan laman web partinya menyebut serangan itu sebagai 'cubaan bunuh'.

"Beliau ditembak beberapa kali dan kini dalam keadaan kritikal. Akan ditentukan dalam beberapa jam akan datang," menurut kenyataan itu.

Menurut Menteri Buruh Slovakia, Erik Tomáš, tiada individu lain cedera dalam kejadian itu.

Sementara itu, Presiden Slovakia, Zuzana Čaputová berkata, suspek lelaki bersenjata tersebut kini ditahan.-CNN

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain