suria

Thailand benarkan tanam ganja di rumah

Thailand benarkan tanam ganja di rumah. (Gambar File)

LEMBAGA Narkotik Thailand pada Selasa menyatakan ia akan mengeluarkan ganja daripada senarai dadahnya lantas membuka jalan kepada orang ramai untuk menanam tumbuhan itu di rumah.

Thailand menjadi negara Asia Tenggara pertama yang meluluskan ganja pada 2018 untuk kegunaan perubatan dan penyelidikan.

Di bawah peraturan baru itu, orang ramai boleh menanam tanaman ganja di rumah selepas memaklumkan kepada kerajaan tempatan mereka tetapi ganja berkenaan tidak boleh digunakan untuk tujuan komersil tanpa lesen lanjut, kata Menteri Kesihatan Anutin Charnvirakul.

Peraturan itu mesti diterbitkan dalam Warta Diraja rasmi dan perlu menunggu selama 120 hari sebelum tumbuhan ganja di rumah menjadi sah di Thailand.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Thailand pada minggu ini akan membentangkan draf rang undang-undang berasingan kepada parlimen yang menyediakan butiran mengenai penggunaan ganja secara sah, termasuk pengeluaran dan penggunaan komersilnya, termasuk garis panduan penggunaan rekreasi.

Ganja yang ditanam sendiri perlu digunakan untuk tujuan perubatan seperti ubat herba tradisional, maklum ketua pengawal selia makanan dan ubat-ubatan, Paisal Dankhum, dan menambah bahawa pihak berkuasa akan melakukan pemeriksaan rawak.

Draf rang undang-undang baru itu memperuntukkan kesalahan menanam ganja tanpa makluman kepada kerajaan dengan hukuman denda sehingga 20,000 baht (RM2,508) dan menetapkan denda sehingga 300,000 baht (RM37,630) atau tiga tahun penjara, atau kedua-duanya, bagi kesalahan menjualnya tanpa lesen.

Langkah itu merupakan dasar terbaru Thailand dalam rancangan untuk mempromosikan ganja sebagai tanaman bernilai tinggi. Kira-kira satu pertiga daripada tenaga buruhnya bekerja dalam bidang pertanian, menurut Bank Dunia.

Tahun lalu, syarikat minuman dan kosmetik Thailand bergegas melancarkan produk ganja hem dan sebatiannya CBD selepas penggunaannya diluluskan untuk barangan pengguna. - Reuters

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain