suria

Angka korban koronavirus di China sudah melebihi 1,000

Angka kematian di China bertambah kepada 1,011 kes pada Selasa, selepas wilayah Hubei melaporkan 103 kes kematian baru. Foto: Justin Chin/Bloomberg

JUMLAH kematian akibat wabak epidemik koronavirus di China meningkat kepada 1,011 pada Selasa, selepas wilayah Hubei melaporkan 103 kes kematian baru.

Suruhanjaya Kesihatan Hubei juga mengesahkan sebanyak 2,097 kes baru di tengah wilayah yang mula-mula dilanda wabak tersebut.

Dengan pertambahan angka terbaharu itu, dilaporkan lebih daripada 42,200 kes disahkan di seluruh China, berdasarkan angka-angka yang dikeluarkan sebelum ini daripada kerajaan.

Wabak koronavirus muncul penghujung tahun lalu, dipercayai berpunca daripada pasar yang menjual haiwan liar di Wuhan, ibu kota Hubei.

Presiden China Xi Jinping dilaporkan mengadakan pertemuan dengan pegawai perubatan dan pesakit yang terjejas di sebuah hospital di Beijing pada Isnin, di mana beliau mengarahkan "langkah-langkah yang lebih tegas" diambil untuk mengekang penularan wabak tersebut, demikian menurut penyiar negeri CCTV.

Pasukan yang ditugaskan untuk misi pakar antarabangsa yang diketuai oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia tiba di China lewat Isnin, diketuai oleh Bruce Aylward. - CNA

korban, koronavirus, China

Artikel Lain