suria

Nahas Ethiopian Airlines: Terselamat gara-gara tiba lewat dua minit di pintu berlepas

Antonis Mavropoulos.

SEORANG lelaki warga Greece terselamat daripada menaiki pesawat malang Ethiopian Airlines yang terhempas pada pagi Ahad gara-gara terlewat dua minit untuk tiba di pintu berlepas.

Antonis Mavropoulus nyaris menjadi penumpang ke-150 yang terkorban sekiranya tidak terlepas penerbangannya itu.

Lelaki tersebut mengambil masa selama 40 minit untuk mencari bagasinya yang hilang selepas menaiki penerbangan awal.

Dalam posting di Facebook miliknya yang bertajuk ‘My Luck day’, Mavropoulus berkata dia amat marah selepas tiada sesiapa membantunya untuk sampai ke balai pelepasan sebelum pintu pesawat ditutup.

Namun dia mengetahui pesawat Boeing 737 Max 8 itu terhempas beberapa minit sebaik berlepas dari lapangan terbang Addis Ababa, Ethiopia dan polis membawanya untuk soal siasat.

Seperti penumpang lain, Mavropoulus pergi ke Nairobi, Kenya untuk menghadiri mesyuarat tahunan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tiket penerbangan Mavropoulus yang dimuatnaiknya di Facebook.

Mavropoulus yang juga presiden sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berkata dia terlepas penerbangan tersebut kerana terlewat dan pintu pesawat ditutup dua minit sebaik dia tiba.

Dia turut memuatnaik gambar tiket pesawatnya di Facebook.

“Saya amat marah kerana tiada siapa membantu saya untuk sampai ke pintu pelepasan.

“Saya menjerit agar saya dibenarkan masuk tetapi mereka tetap tidak membenarkan saya masuk,” katanya.

Pesawat yang mengambil masa selama dua jam untuk tiba di Nairobi, Kenya berlepas tanpa kelibatnya dan memaksanya untuk menempah tiket penerbangan baharu.

Mavropoulus yang meluahkan rasa bersyukur kerana terselamat menghubungi keluarganya untuk memaklumkan dia tidak menaiki pesawat malang itu. - Mirror.co.uk

Ethiopian Airlines, terhempas

Artikel Lain