suria

Duterte sedia tawar status kerakyatan kepada pelarian Rohingya

Foto Reuters

PRESIDEN Filipina, Rodrigo Duterte pada Selasa menawarkan taraf kerakyatan kepada pelarian Rohingya.

Beliau turut mengulangi kesediaannya untuk menerima etnik itu menetap di negaranya, lapor sebuah portal berita tempatan Filipina.

"Saya bersedia untuk menerima orang Rohingya," portal berita GMA News memetik Duterte sebagai berkata ketika sedang menyampaikan ucapan pada sebuah konvensyen di Manila.

Pada April tahun lalu, Duterte juga mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ketenteraan terhadap komuniti Rohingya di Rakhine, Myanmar sebagai 'penghapusan bangsa'.

Beliau juga dipaksa untuk mengeluarkan kenyataan maaf berhubung perkara itu.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Rohingya adalah masyarakat yang paling teraniaya di dunia dan ramai mangsa yang dibunuh dalam keganasan komunal yang berlaku pada 2012.

Menurut Amnesty International, lebih daripada 750,000 pelarian Rohingya yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak telah melarikan diri dari Myanmar.

Mereka merentasi Bangladesh selepas tentera Myanmar melancarkan serangan terhadap komuniti minoriti Islam itu pada Ogos 2017.

Sejak 25 Ogos 2017, hampir 24,000 umat Islam Rohingya telah dibunuh oleh tentera negara tersebut seperti yang dilaporkan oleh Badan Pembangunan Antarabangsa Ontario (OIDA). - Eurasia Review

Rodrigo Duterte, Rohingya

Artikel Lain