Chef masak, makan katak puru beracun sebelum buat pertunjukan - Dunia | mStar

Chef masak, makan katak puru beracun sebelum buat pertunjukan

McMahon memotong kaki-kaki katak puru sebelum dimasak.

DAVID McMahon sudah biasa dengan katak puru.

Sebagai pemandu pelancong di Wilayah Utara Australia, dia sering melihat katak puru di merata tempat.

Jadi, ketika dia dihubungi oleh penganjur pameran seni Tasmania untuk menangkap beberapa ekor katak puru, dia tidak melepaskan peluang tersebut.

Namun, piahk penganjur Eat The Problem bukan mahu haiwan amfibia tersebut dipamerkan, tetapi mereka ingin tahu bagaimana cara untuk memasaknya.

Sebagai bekas chef, McMahon gembira untuk melakukannya, - tetapi tidak sebelum mencubanya sendiri terlebih dahulu.

Video eksperimen yang jarang dilihat itu dimuat naik ke dalam talian dan menjadi tular tidak lama selepas itu.

McMahon berkata, dia tidak mahu menggunakan ayat klise untuk menggambarkan rasa katak seperti ayam, tetapi secara spesifiknya mendakwa ia berasa seperti paha ayam.

Dia juga enggan makan seluruh katak itu kecuali bahagian kaki dan menjelaskan bahawa haiwan itu dimatikan secara selamat.

"Saya meletakkan katak itu di dalam peti sejuk sehingga ia tidur, kemudian saya memukulnya dalam peti sejuk.

"Saya menyiang kira-kira dua kilogram kaki katak, jadi saya menganggarkan sekitar 100 katak digunakan," ujarnya.

McMahon berkata, penyediaan kaki katak cukup mudah.

Dia hanya memotong kaki katak menggunakan pisau pemotong daging, kemudian kulit katak itu terkupas dengan mudah.

Dia kemudian perlahan-lahan memasak kaki katak dengan meletakkannya ke dalam kuali untuk digoreng.

Walaupun katak puru dikatakan beracun di kepala dan kulitnya, McMahon menegaskan bahawa amfibian itu selamat untuk dimakan jika ia dibilas dalam air masin dengan teliti sebelum dimasak. - The West AU

katak puru

Artikel Lain