suria

Penduduk cemas 'rakun zombie' muncul berdiri, tunjuk gigi!

-foto FB Robert Coggeshall

POLIS di Youngstown, Ohio, menerima banyak laporan tentang rakun yang 'muncul seperti zombi' pada siang hari, menunjukkan gigi tajamnya dan kemudian terbaring tanpa sebab yang jelas.

Youngstown sememangnya mempunyai populasi rakun, tetapi mamalia berbulu itu biasanya tidak akan keluar berdepan manusia, hanya keluar pada waktu malam untuk mencari tong sampah bagi mendapatkan makanan.

Bagaimanapun, bulan lalu, beberapa ekor rakun mula muncul dan menunjukkan kelakuan aneh.

Kumpulan haiwan ini akan keluar di siang hari, kadang-kadang berjalan menuju pintu rumah penduduk setempat, berdiri seperti manusia, menunjukkan gigi tajamnya seperti melakukan ancaman dan kemudian terjatuh ke belakang dan terbaring.

-foto Robert Coggeshall

Sepanjang tiga minggu yang lalu, rakun aneh ini dikenali sebagai 'rakun zombie' oleh penduduk setempat.

Robert Coggeshall, 72, adalah salah seorang yang pertama melihat perilaku pelik rakun ini.

Dia sedang bermain dengan anjingnya di laman rumahnya pada suatu hari apabila melihat seekor rakun sedang berjalan ke arahnya.

Situasi itu sahaja sangat pelik, kerana mamalia ini biasanya tidak keluar pada siang hari, tetapi pada hari tersebut ia terus datang kepadanya, membuatkan dia dan anjingnya masuk ke dalam rumah.

Rakun itu datang ke pintu dan kemudian dia dapat melihat perkara-perkara sangat pelik dari dalam rumah.

"Dia berdiri dengan kaki belakangnya, yang saya tidak pernah lihat seekor rakun berkelakuan seperti itu sebelum ini dan menunjukkan giginya dan kemudian jatuh ke belakang dan keadaannya macam hampir koma," kata Coggeshall kepada berita tempatan WKBN.

-foto Robert Coggeshall

Coggeshall, seorang naturalis dan jurugambar alam semulajadi memberitahu Washington Post bahawa rakun itu mengulangi rutin anehnya itu berulang kali selama dua jam.

Pada satu ketika, dia mengambil kameranya dan mula mengambil gambar yang mana beberapa gambar yang dirakamnya dipaparkan di Facebook.

Polis Youngstown memberitahu WKBN bahawa mereka telah menerima sekurang-kurangnya 14 laporan serupa dalam tempoh tiga minggu lalu, dengan kebanyakan panggilan dibuat pada siang hari.

Walaupun pakar hidupan liar belum lagi memberikan penjelasan rasmi mengenai kelakuan pelik rakun ini, sesetengah pakar percaya bahawa kumpulan haiwan ini mungkin dijangkiti penyakit yang disebut 'distemper'.

Mempunyai kaitan dengan virus campak manusia, penyakit ini biasanya menjangkiti anjing yang tidak divaksin tetapi ia juga boleh merebak kepada musang, koyote dan skunk.

-foto Robert Coggeshall

Pada tahun 2003, harimau pertama yang dilaporkan dijangkiti 'distemper' kelihatan terpinga-pinga di bandar Pokrovka di Rusia. Ia hanya duduk, mengabaikan segala-galanya di sekelilingnya.

Gejala awal berkaitan 'distemper' termasuk demam pada suhu tinggi dan air keluar dari hidung dan mulut, tetapi kemudian, virus mula menjejaskan sistem saraf haiwan, menyebabkan serangan histeria atau sawan.

Penyakit ini tidak boleh menjangkiti manusia.

Berita tentang 'rakun zombie' di Youngstown mula tersebar dalam talian dan perkhidmatan kawalan haiwan di Cook County, Illinois, melaporkan bahawa wabak yang sama juga dikesan di tempat mereka.

"Apa yang anda paling luar biasa dengan haiwan ini apabila ia berjalan sangat perlahan dan tidak kelihatan peduli dengan persekitaran mereka," kata Donna Alexander, pentadbir Kawalan Haiwan dan Rabies Cook County kepada CBS Chicago.

"Mereka tidak menunjukkan ketakutan terhadap manusia. Mereka berjalan-jalan di siang hari. Kadang-kadang berbaring, walaupun mereka sebenarnya berjaga."

Pada masa ini, tiada penawar atau ubat untuk menghalang 'distemper' jadi untuk memastikan virus itu terus tersebar, haiwan yang dijangkiti perlu ditangkap.

rakun, zombie, distemper

Artikel Lain