suria

Pasangan suami isteri mohon maaf penting diri, hamil potong giliran

-foto Mainichi

SEORANG wanita telah ditegur kerana hamil tidak mengikut giliran dan 'penting diri' apabila melanggar peraturan majikannya.

Wanita dari Jepun yang tidak dinamakan itu bekerja di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak swasta di wilayah Aichi di negara itu.

Suaminya, 28, menulis surat terbuka kepada akhbar Jepun, Mainichi Shimbun, menyatakan isterinya murung dan resah tentang kehamilannya kerana syarikat tempat dia bekerja menetapkan syarat untuk pekerja wanita dibenarkan hamil.

"Pengarah di pusat penjagaan kanak-kanak tempat dia bekerja telah menetapkan perintah di mana pekerja boleh berkahwin atau hamil dan nampaknya ada peraturan tidak jelas tentang seseorang pekerja tidak boleh mengambil giliran (hamil) sebelum pegawai kanan," tulisnya.

"Pengasuh kanak-kanak mengorbankan anak mereka sendiri untuk menjaga anak orang lain.

"Memelihara anak-anak adalah profesion mulia yang akan memastikan negara ini terus maju pada masa hadapan.

"Saya menghormati isteri saya atas komitmennya terhadap kerjayanya dan terus memberi galakan kepadanya," katanya.

Walaupun pasangan itu telah memohon maaf kepada pengarah syarikat itu, suaminya berkata isterinya telah dimaki oleh kakitangan kanan.

"Pengarah berat hati menerima permohonan maaf kami, keesokan harinya menegur isteri saya dengan kata-kata kasar, seperti, 'bagaimana kamu begitu pentingkan diri sendiri melanggar peraturan?'."

Wartawan Jepun, Toko Shirakawa memberitahu akhbar itu bahawa syarikat-syarikat di mana wanita membentuk majoriti kakitangan sering menetapkan perintah pekerja mana yang dibolehkan hamil.

Bercakap kepada Mainichi Shimbun, seorang wanita berusia 26 tahun dari Mitaka, pinggir bandar Tokyo, berkata dia diberitahu oleh seorang penyelia bahawa dia hanya dibenarkan hamil ketika berusia sekitar 35 tahun.

Jepun konsisten berada di tahap rendah dalam kalangan negara maju mengenai isu kesaksamaan jantina.

Tahun lepas, Jepun menduduki tangga ke-114 dari 144 negara dalam ranking kesamaan jantina global Forum Ekonomi Dunia, yang mengukur kesamaan dengan menganalisis kadar penyertaan wanita dalam politik, pendidikan, ekonomi dan kesihatan.

Menurut data yang diterbitkan oleh The Economist pada tahun 2017, pendapatan wanita Jepun adalah 25.9 peratus kurang daripada lelaki, yang merupakan jurang gaji tertinggi kedua di antara 29 negara yang dianalisis.

hamil, giliran hamil

Artikel Lain