suria

Bot Bawa Warga Rohingya Hanyut Di Perairan Thai

Warga Rohingya yang berada dalam bot ditemui hanyut dilaporkan berada dalam keadaan lemah dan ada yang meninggal dunia beberapa hari lalu.
KOH LIPE (Thailand): Sebuah bot penuh dengan warga Rohingya termasuk kebanyakannya kanak-kanak, ditemui hanyut dibawa arus di perairan Thai, demikian menurut laporan wartawan agensi berita AFP yang berada di lokasi kejadian.

Beberapa penumpang didakwa telah meninggal dunia beberapa hari yang lalu dengan puluhan lagi ditemui dalam keadaan lemah.

Bot tersebut hanyut beberapa kilometer dari selatan Pulau Koh Lipe di Laut Andaman.

Sajida, 27, yang membawa bersama empat anaknya berkata bot tersebut dihanyutkan penyeludup yang bertindak merosakkan enjin sebelum melarikan diri.

"Kami tidak mempunyai bekalan makanan selama seminggu, tiada tempat untuk tidur... anak-anak saya sakit," katanya.

Sebuah helikopter tentera laut Thailand menjatuhkan beberapa bekalan makanan dan beberapa penumpang terjun ke dalam air untuk mendapatkan makanan tersebut.

Seorang wartawan AFP melihat seorang penumpang lelaki menikmati mi segera di dalam air sebelum berenang kembali ke bot.

Seorang pegawai tentera laut Thai di Koh Lipe berkata mereka merancang untuk membaiki enjin tersebut supaya golongan itu boleh pergi ke destinasi mereka.

Rohingya, Koh Lipe

Artikel Sebelum

Artikel Berikut