suria

Jumpa Mayat Sepanjang Laluan Pendaki Himalaya

Pasukan penyelamat berjaya menemui 60 mayat yang tertimbus sepanjang laluan pendaki di Himalaya.

KATHMANDU: Walaupun operasi mencari dan menyelamat ditamatkan secara rasmi, masih ada pasukan penyelamat tempatan berusaha menggali  tanah di sepanjang laluan popular pendaki di Himalaya untuk  mencari mayat yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh berikutan gempa bumi, 25 April lalu.

Tindakan itu diambil kerana pihak berkuasa percaya masih ada mayat di bawah runtuhan tanah itu selepas perkampungan di situ tertimbus.

Setakat ini, 60 mayat ditemui di Lembah Langtang, sejak gempa bumi dan tanah runtuh 25 April lalu.

Pegawai kanan kerajaan Nepal, Gautam Rimal berkata, daripada jumlah itu, sembilan adalah mayat pendaki warga asing.

“Seluruh kampung dengan kira-kira 60 rumah musnah dalam kejadian tanah runtuh itu dan mustahil untuk menemui semua mayat yang tertimbus itu,” katanya.

Dianggarkan 200 orang maut di lembah itu dan kampung Langtang terletak kira-kira 60 kilometer ke utara Kathmandu yang menjadi hentian popular untuk pendaki kerana mempunyai pemandangan Himalaya indah.

Angka kematian akibat gempa paling buruk di Nepal dalam tempoh lebih 80 tahun sudah menjangkau lebih 7,500.

Sementara itu, polis Kathmandu berkata, hampir 900,000 penduduk meninggalkan bandar itu dalam tempoh 10 hari lalu.

Jumlah penduduk di sekitar Kathmandu, yang merangkumi bandaraya ini, bandar Lalitpur dan Bhaktapur ialah 2.5 juta.

Keadaan semakin kembali normal di ibu negara Nepal itu tetapi sekolah masih ditutup sehingga 14 Mei.


Himalaya, Nepal, Lembah Langtang

Artikel Berikut

Artikel Lain