suria

Lubang Di Songkhla Dipercayai Tanam Mayat Warga Rohingya

Polis mengusung mayat warga Rohingya yang dipercayai meninggal dua hari lepas. -foto AP
SONGKHLA: Pihak berkuasa Thailand menemui sekurang-kurangnya 32 lubang di bukit Khao Hua Chang berhampiran sempadan Thailand-Malaysia yang dipercayai digunakan untuk menanam mayat warga Rohingya dan yang lain yang meninggal ketika menunggu peluang menyeberang masuk secara haram ke Malaysia.

Ketua Polis Thailand, Jen Pol. Somyod Pumpanmuang berkata pihak polis dan tentera Thai telah ke Kg Taluk, di Mukim Padang Besar, Sadao, Songkhla dan menemui kem warga asing dan lubang di bukit itu.

Polis juga menemui mayat warga Rohingya yang dipercayai meninggal dua hari lepas dan seorang lagi yang demam teruk yang kemudiannya dibawa ke Hospital Padang Besar.

Beliau berkata warga asing dalam kem itu adalah daripada kumpulan yang sama dengan yang ditahan di daerah Huasai, Wilayah Nakhornsri Thammarat baru-baru ini.

Beliau berkata walaupun 32 lubang yang ditemui tetapi bukan bermakna ia mengandungi 32 mayat.

"Hari ini pihak berkuasa baru menggali lima lubang dan empat mayat ditemui.Lubang akan digali lagi esok untuk doktor sama-sama menyiasat punca kematian," katanya.

Lt Jen Pol. Decha Butnampech, Ketua Polis Bahagian Ke-8 berkata pihaknya akan menyiasat sama ada kes itu mempunyai kaitan dengan proses pemerdagangan manusia dan pihak yang terlibat.
Rohingya, Khao Hua Chang

Artikel Lain