suria

Pesawat Easyjet Dilencong Ke Paris, Isytihar Bantuan Perubatan Kecemasan

SEBUAH pesawat komersial Easyjet dari Mallorca, Sepanyol ke London terpaksa dilencongkan ke Paris untuk membuat pendaratan cemas pada Khamis.

Portal London Evening Standard melaporkan menurut syarikat penerbangan itu, penerbangan Easyjet EZY8626 dari Palma ke Lapangan Terbang Gatwick, London dilencongkan ke Paris berikutan salah seorang penumpang memerlukan bantuan perubatan dengan segera.

Pesawat itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Orly di Paris.

Seorang jurucakap Easyjet berkata: "Easyjet mengesahkan penerbangan EZY8626 dari Palma ke London Gatwick dilencongkan ke Orly apabila seorang penumpang yang menaiki pesawat itu memerlukan bantuan perubatan dengan segera.

"Keselamatan dan kebajikan para penumpang dan kru merupakan keutamaan Easyjet. Penerbangan diteruskan ke London Gatwick selepas penumpang berkenaan dibawa ke hospital.

"Kami memohon maaf di atas kesulitan yang berlaku akibat pesawat dilencongkan dan menyebabkan kelewatan," katanya.

Jurucakap itu bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai butiran kecemasan perubatan yang dialami penumpang tersebut. - London Evening Standard


Easyjet

Artikel Lain