suria

Zayn Malik Tinggalkan One Direction

Zayn Malik.

ANGGOTA kumpulan One Direction, Zayn Malik mengumumkan mengundurkan diri selepas bersama dengan kumpulan itu selama lima tahun.

Penyanyi berusia 22 tahun itu secara rasmi membuat keputusan untuk meninggalkan kumpulan yang sering menduduki carta teratas, yang turut dianggotai oleh Niall Horan, Harry Styles, Liam Payne dan Louis Tomlinson.

Zayn dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada MailOnline pada lewat malam Rabu berkata: "Kehidupan saya bersama One Direction adalah melebihi daripada apa yang saya bayangkan selama ini."

"Tetapi selepas lima tahun, saya merasakan sekarang adalah masanya untuk saya meninggalkan kumpulan ini. Saya mahu memohon maaf kepada para peminat sekiranya mengecewakan mereka, tetapi saya perlu lakukan apa yang saya rasakan perlu."

Tambahnya: "Saya mengundurkan diri kerana saya mahu menjadi seorang remaja berusia 22 tahun yang normal yang boleh tenang dan mempunyai masa sendiri daripada perhatian umum.

"Saya tahu saya mempunyai empat sahabat dalam kehidupan pada Louis, Harry, Liam dan Niall. Saya tahu mereka akan meneruskan sebagai kumpulan penyanyi terbaik di dunia."

One Direction dalam kenyataannya yang dikeluarkan kepada MailOnline: "Kami amat sedih untuk melihat Zayn pergi, tetapi kami amat menghormati keputusannya dan akan terus mengingatinya.

"Sepanjang tempoh lima tahun ini amat bermakna buat kami. Kami melalui banyak perkara bersama-sama, maka kami akan sentiasa berkawan.

"Kami berempat sekarang akan meneruskan One Direction. Kami tidak sabar-sabar untuk merakamkan album baharu dan melihat semua peminat pada konsert jelajah kami seterusnya."

Sementara itu, Simon Cowell yang membawakan One Direction daripada lima penyanyi solo dalam program realiti mencari bakat The X Factor pada 2010 mengucapkan terima kasih kepada Zayn di atas komitmennya kepada kumpulan itu.

Tambahnya: "Saya mahu berterima kasih kepada Zayn di atas semua yang dia lakukan untuk One Direction.

"Sejak pertama kali saya bertemu dengan Zayn pada 2010, saya amat berbangga terhadap dirinya. Saya melihat dia berkembang dengan yakin dan saya amat sedih untuk melihatnya pergi." - MailOnline

Zayn Malik, One Direction

Artikel Lain