suria

Helikopter Terhempas, Dua Anggota Tentera Maut

BAMAKO: Dua tentera pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari Belanda maut selepas helikopter tempur, Apache yang mereka naiki terhempas di utara Mali, kata tentera Belanda.

Helikopter daripada misi Minusma PBB itu dilapor terhempas di lokasi yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Gao.

Pemimpin tertinggi pertahanan Belanda, Jeneral Tom Middendorp dalam sidang media di The Hague mengesahkan mengenai kemalangan berkenaan dan kematian dua anggota tenteranya.

"Pada tengah hari ini (Selasa), sebuah helikopter tempur Apache Belanda telah terhempas di Mali.

"Seorang kapten berusia 30 tahun dan leftenan pertama berumur 26 tahun telah terkorban dalam kemalangan itu.

"Kapten terbabit yang merupakan juruterbang maut di lokasi kejadian manakala leftenan berkenaan disahkan meninggal dunia di hospital tentera selepas mengalami luka-luka di badan," jelas Middendorp.

Tambahnya, kedua-dua mangsa terdiri daripada anggota Skuadron 301 yang berpusat di pangkalan udara Gilze-Rijen di selatan Belanda.

Bamako, Mali, Belanda

Artikel Berikut

Artikel Lain