suria

Feri Karam: 21 Maut, 26 Hilang, 167 Diselamatkan

YANGON: Seramai 21 penumpang maut manakala 26 lagi masih hilang di pantai barat Myanmar selepas sebuah feri yang memuatkan lebih 200 penumpang karam, lapor polis pada Sabtu.

Feri "Aung Takon" berlepas meninggalkan bandar Kyaukphyu dan menghala ke Sittwe di kawasan barat Rakhine pada Jumaat.

"Kami menjumpai 21 mayat iaitu 2 lelaki dan 19 wanita. Lebih kurang 26 penumpang masih lagi hilang," lapor seorang pegawai polis di bandar Sittwe yang enggan  dikenali kepada AFP.

Menurutnya, seramai 167 mangsa diselamatkan dan tiada warga asing yang dilaporkan menaiki feri tersebut.

Tiga bot tentera laut dan pelbagai kapal swasta dihantar untuk menjalankan operasi menyelamat di kawasan tersebut selepas dimaklumkan mengenai feri karam selepas jam 8.30 malam Jumaat.

"Pihak kami mengesyaki punca feri tersebut karam disebabkan muatan yang melebihi had," kata polis sambil memberitahu pasukan menyelamat masih mencari mangsa yang terselamat.

Kapal karam merupakan kemalangan  yang sering berlaku di Myanmar.

Feri, Myanmar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain