suria

Bahan Peledak Ditemui Dalam Kereta Api Menghala Ke Taipei

TAIPEI: Lebih 600 orang penumpang sebuah kereta api laju yang dijadualkan berlepas ke bandar ini terpaksa diselamatkan selepas sejenis bahan letupan dan pemicunya ditemui di dalam salah sebuah gerabak.

"Kami berpendapat ia adalah sejenis bahan peledak kerana cecair yang ditemui di dalamnya berbau seperti gasolin dan kami juga menemui beberapa alat yang boleh digunakan sebagai alat pemicu," kata seorang jurucakap polis kepada agensi berita AFP.

Perbadanan Perkhidmatan Kereta Api Laju Taiwan dalam satu kenyataan menyatakan yang mereka telah menelefon polis setelah menemui dua buah beg yang ditinggalkan dan mengeluarkan sejenis bau yang sangat kuat.

Beg itu ditinggalkan di dalam bilik air salah sebuah gerabak.

Para penumpang kemudiannya diperintah meninggalkan kesemua gerabak setibanya kereta api berkenaan di sebuah pekan kecil bernama Taoyuan berhampiran ibu negara ini.

Pada masa yang sama, pihak polis juga turut menemui dua buah beg lagi yang ditinggalkan di pejabat seorang wakil rakyat bernama Lu Chia-chen di sini.

Kandungan beg itu mengandungi bahan cecair yang hampir serupa dengan yang ditemui di dalam kereta api laju tersebut.

Pihak polis masih belum mengenalpasti apakah kedua-dua kes berkenaan berkaitan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain