suria

Kerajaan Negeri Victoria Sokongan Rancangan Virgin-Tiger

MELBOURNE: Kerajaan Negeri Victoria menyokong usaha Virgin Australia untuk mendapatkan kepentingan utama dalam syarikat penerbangan bajet Tiger Airways, menyatakan bahawa usaha itu akan membuahkan manfaat ekonomi.

Menteri Inovasi, Perkhidmatan dan Perniagaan Kecil Victoria, Louise Asher berkata, bidaan Virgin untuk pegangan 60 peratus dalam Tiger Airways akan memanfaatkan pelancongan dan sektor kerja di negeri itu.

"Kerjasama antara Virgin Australia dan Tiger Airways yang disokong oleh Singapore Airlines dijangka melihat operasi Tiger di Victoria meningkat daripada 11 sehingga 35 pesawat dan kami percaya ini memberikan peluang luas untuk sektor penerbangan di negeri ini membangun dengan lebih pesat," kata Asher dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, usaha sama itu akan meningkatkan kapasiti dari Melbourne ke hab Asia Tiger Airways dan pasaran pelancongan dan dagangan di China dan Asia Tenggara.

Asher berkata, kerajaan negeri telah menulis kepada Suruhanjaya Persaingan dan Pelanggan Australia untuk menyuarakan sokongan kepada usaha sama ini, kata Asher.

Usaha sama itu bergantung kepada kelulusan daripada ACCC dan Lembaga Penilaian Pelaburan Asing, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Pope Benedict Umum Letak Jawatan

Artikel Lain