suria

Prospek Jangka Panjang Singapura Bergantung Kepada Dasar-Dasar Tepat - Lee

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata kejayaan Singapura dalam jangka masa panjang bergantung kepada dasar-dasar yang tepat dan betul serta politik republik itu.

"Kita perlu melaksanakan dasar-dasar yang tepat bagi mentransformasikan ekonomi, meningkatkan produktiviti dan menaik taraf para pekerja kita.

"Kita juga memerlukan dasar-dasar yang tepat bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang melaksanakan dasar-dasar bijak, suasana yang stabil bagi menggalakkan pertumbuhan dan keyakinan dalam prospek jangka panjang Singapura," katanya dalam perutusan Hari Pekerja, sebagaimana dipetik oleh rangkaian televisyen negara itu, Channel NewsAsia.

Lee berkata sekian lama, kejayaan Singapura adalah kerana mempunyai kerajaan dan dasar-dasar tepat yang membawa kepada pekerjaan yang baik serta kehidupan selesa, seterusnya membawa kesepaduan sokongan kepada kerajaan dan dasar-dasar yang baik.

"Kita perlu memastikan kitaran dasar lebih baik ini berterusan," katanya.

Lee berkata politik yang menjaga kebajikan dan kepentingan pekerja, bukan hanya daripada segi parti dan pilihan raya, tetapi daripada aspek bahawa rakyat Singapura memahami apakah sandaran masa depan mereka, menyokong kerajaan yang akan berkhidmat untuk mereka bagi menjamin masa hadapan mereka.

Menyatakan bahawa kesatuan-kesatuan pekerja telah melakukan sumbangan besar, beliau menyeru rakyat Singapura untuk mengenang dan menghargai pengorbanan serta sumbangan kesatuan-kesatuan dan pekerja mereka selama ini.

"Marilah kita terus bekerja bersama-sama untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang baik dan menjamin masa depan lebih cemerlang bersama pada tahun-tahun mendatang," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain