suria

Akta ISA Di Bangkok Dilanjutkan Hingga 24 April

BANGKOK: Penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di tujuh daerah di negara ini yang berakhir Jumaat ini, dilanjutkan sehingga 24 April.

Timbalan jurucakap kerajaan Supachai Jaisamut berkata Kabinet hari ini bersetuju untuk melanjutkan ISA untuk 30 hari lagi dalam usaha mengekalkan keamanan dan ketenteraman awam.

Tujuh daerah terbabit ialah Dusit, Phra Nakhon, Watthana, Ratchathewi, Wang Thong Lang, Pathumwan dan Porn Prap Satru Phai.

Kerajaan mengambil kira bantahan oleh penyokong kumpulan Baju Merah dan Baju Kuning di sini.

Kumpulan Baju Kuning berhimpun berhampiran pejabat perdana menteri sejak 25 Jan kerana tidak puas hati dengan cara Bangkok mengendalikan pertikaian isu sempadan Thai-Kemboja.

Protes oleh kumpulan Baju Merah pula berkisar sekitar menuntut pembebasan pemimpin dan penyokong mereka.

ISA, antara lain, melarang perhimpunan haram dan membenarkan penggunaan tentera dalam membantu mengekalkan ketenteraman awam. -BERNAMA

Artikel Lain