NEW YORK: Malaysia merupakan negara pertama membuat sumbangan kewangan kepada "Dana Fellowship" yang baru ditubuhkan oleh Institut bagi Latihan dan Penyelidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNITAR).UNITAR ialah cabang latihan utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Sumber-sumber PBB mengalu-alukan sumbangan US$100,000 itu sebagai satu tanda simbolik bertepatan dengan semangat kerjasama Selatan-Selatan.Mereka juga berkata sumbangan itu akan memastikan akses diplomat dari negara kurang maju dan negara membangun kepada kursus Latihan Diplomatik Teras (CDT).Sejak 1965, UNITAR telah melaksanakan kurikulum latihan menyeluruh bagi diplomat-diplomat di New York, Geneva dan tempat-tempat lain mengenai topik terdiri daripada sesi maklumat mengenai badan-badan PBB, bengkel kerja tentang prosedur pilihan raya, atau pembaharuan PBB, hinggalah kepada kursus mengenai rundingan, merangka resolusi dan pengucapan awam di PBB.Datuk Hamidon Ali, wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberitahu Bernama di pejabatnya di New York berkata sumbangan itu menyokong komitmen negara kepada pendidikan dan pembelajaran berterusan dalam konteks PBB."Ini ialah bagi rundingan pelbagai hala yang lebih efektif dan bagi memastikan diplomat daripada negara membangun boleh mendapat faedah daripada kursus-kursus UNITAR," katanya."Kita memutuskan untuk melakukan ini (menyumbang wang) kerana kita juga berpeluang mendapat faedah daripada latihan itu," katanya.Menurut Hamidon, UNITAR, yang mengalami kekangan wang dan tidak menerima bajet daripada PBB, tidak akan meminta pelatih Malaysia membayar sebarang yuran kerana "kami membayar terlebih dahulu".Beliau juga berkata pendidikan merupakan keutamaan penting bagi Malaysia yang memperuntukkan kira-kira 20 peratus daripada bajetnya bagi mempromosikannya dalam negara.UNITAR berharap negara-negara lain akan mencontohi Malaysia dalam membuat sumbangan kepada program latihan itu.Malaysia baru-baru ini menyempurnakan penggal setahunnya sebagai Presiden Majlis Ekonomi dan Sosial PBB (ECOSOC).Hamidon, mewakili Malaysia sebagai presiden ECOSOC. - BERNAMA