suria

Singapura Sumbang US$50,000 Lagi Kepada Pakistan

SINGAPURA: Kerajaan Singapura menyumbang US$50,000 (kira-kira RM156,000) lagi sebagai bantuan kemanusiaan kepada Pakistan yang dilanda banjir besar.

Sumbangan pertama dibuat baru-baru ini selepas kejadian bencana alam itu dilaporkan.

Kementerian Luar Singapura berkata sumbangan tambahan itu akan digunakan oleh pertubuhan kemanusiaan Singapura, Mercy Relief untuk menambah stok bekalannya iaitu sistem rawatan air, makanan dan ubat-ubatan untuk mangsa banjir.

Pasukan pertama Mercy Relief telah kembali dari Pakistan dan pasukan kedua akan berlepas ke negara itu dalam tempoh dua minggu lagi, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan di sini, Khamis.

Pasukan Pertahanan Am Singapura turut menghantar dua pegawai di bawah panji Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan, untuk membantu pasukan di tempat kejadian di Pakistan dalam menilai keperluan mangsa banjir dan menyelaraskan usaha bantuan. - BERNAMA

Artikel Lain