suria

Presiden CGF Gesa Pihak Berkuasa India Siasat Dakwaan Rasuah

NEW DELHI: Presiden Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) Michael Fennell menggesa pihak berkuasa India menyiasat dakwaan rasuah dalam penganjuran kejohanan Sukan Komanwel Delhi yang dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 14 Oktober ini. Beliau berkata pihaknya memandang berat laporan berhubung dakwaan berlaku rasuah, dan menurutnya pihak persekutuan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan amalan itu.

"Kami mahukan pihak berkuasa India dan pelbagai agensi menjalankan siasatan mengikut paraturan dan undang-undang yang ada berhubung perkara ini," kata beliau yang menamatkan lawatan dua hari ke Delhi kepada media di sini, Khamis.

Beberapa pegawai tinggi jawatankuasa penganjur Sukan Komanwel Delhi sebelum ini dikaitkan dengan dakwaan berlaku rasuah besar-besaran dalam penganjuran temasya sukan itu, yang menyaksikan dua pegawai berhadapan dengan tindakan digantung dari jawatan, manakala seorang lagi mengundur diri ekoran pendedahan media.

Fennell dan beberapa pegawai senior CGF melawat semua 17 venue sukan yang membabitkan 17 acara sukan, semasa tempoh bermula temasya sukan itu itu kini tinggal 45 hari.

Ia merupakan kali kedua diadakan di Asia selepas Malaysia menganjurkannya pada 1998.

Fennell berkata kebanyakan venue yang dilawatinya berada dalam keadaan amat memberangsangkan, dan ia disiapkan dengan baik, namun banyak kerja-kerja pemulihan masih perlu dilaksanakan. - BERNAMA

Artikel Lain