suria

Kanak-kanak sindrom down hiasi video di Times Square

MESKIPUN menghidapi sindrom down, Isabella tetap aktif berkecimpung dalam dunia seni dan sukan. —Agensi

SEORANG kanak-kanak sindrom down mungkin masih muda, namun dia sering melakukan apa sahaja yang difikirkannya.

Oleh itu, tidak hairanlah Isabella Hass, 14, cukup teruja apabila terpilih menjadi salah satu daripada 500 wajah yang akan ditampilkan menerusi persembahan video daripada National Down Syndrome Society (NDSS).

“Saya gembira dan saya berjaya,“ katanya yang berasal dari Westlake Village, California, Amerika Syarikat (AS).

Video berdurasi satu jam yang ditayangkan di dua skrin Jumbotron di bandar New York pada Sabtu lalu merangkumi beratus-ratus gambar kanak-kanak, remaja serta orang dewasa dari 50 negeri yang menghidapi sindrom down.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif NDSS, Kandi Pickard berkata, persembahan itu bertujuan mempromosikan nilai dan keadaan individu yang menghidapi sindrom down.

Ia juga selaras dengan acara Buddy Walk menjelang Bulan Kesedaran Sindrom Down pada Oktober depan.

“Video Times Square tahunan dan New York City Buddy Walk adalah acara yang sangat istimewa untuk NDSS, untuk individu dan keluarga yang mengambil bahagian serta untuk seluruh komuniti sindrom down.

“Video ini juga menunjukkan keindahan kepelbagaian dan meraikan kaedah orang yang kita sayangi yang menghidapi sindrom down. Kami sangat gembira kerana semua 50 negeri mempunyai wakil dan orang ramai di seluruh negara boleh menonton video itu di Times Square dan di laman Facebook NDSS,” katanya.

Screenshot 2021-09-20 202831

Isabella ketika memenangi Miss Amazing 2021. —Agensi

Sementara itu, ibu Isabella, Patricia Hass berkata, beliau teruja dengan anak perempuannya yang gigih, selain turut mewakili California dalam pertandingan Miss Amazing 2021 baru-baru ini.

“Saya sangat bangga dengannya. Bukan hanya kerana pencapaiannya pada usia muda, tetapi untuk hatinya yang kuat, kebaikannya, cara dia mencintai semua orang tanpa syarat, serta cara dia menjaga dirinya sendiri.

“Hidup ini agak sukar baginya tetapi dia bekerja keras, tidak berputus asa dan mencapai impiannya. Dia juga tidak mendengar apa yang orang perkatakan tentang dirinya sebaliknya berbangga dengan dirinya, “ katanya.

Selain gemar menyertai pertandingan, Isabella turut berkecimpung dalam dunia permodelan, bola keranjang, gimnastik, sorak dan tarian.

Dia juga tampil dalam produksi teater tempatan dan pergi ke kongres untuk berucap bagi pihak yang berkeperluan khas. —People

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain