suria

Wanita Iran sebenar di sebalik chador

DENGAN langkah yang panjang dan pantas seorang wanita berjalan di celahcelah orang ramai, yang berkumpul di Dataran Azadi untuk meraikan ulang tahun ke30 Revolusi Islam Iran, untuk mencari jalan keluar.

Samaneh Rooh, 25, yang berpakaian jubah hitam 'chador' dan begitu menawan, memegang erat lengan serta membimbing saya berjalan keluar dari dataran itu di mana beratus ribu warga Iran berkumpul di ibu negara bagi meraikan ulang tahun itu pada bulan lepas.

Beliau menapak laluan pejalan kaki dengan mudah, jelas sekali chador (kain luar atau jubah terbuka yang dipakai oleh wanita Iran di luar rumah) yang dipakai tidak menghalangnya walaupun dikibas angin, untuk menghulurkan tangan membantu penulis.

Wanita muda yang bertenaga ini, yang ditugaskan sebagai penterjemah bagi sekumpulan wartawan wanita yang dijemput oleh Pertubuhan Budaya dan Hubungan Islam (ICRO) bersempena dengan ulang tahun itu, berkata beliau berasa bebas walaupun memakai chador.

"Saya rasa boleh berbuat apa sahaja memandangkan saya tidak banyak menarik perhatian, terutama kaum lelaki apabila memakai chador", kata Samaneh yang bagaikan penterjemah peribadi dan jurupandu penulis semasa sambutan ulangtahun itu.

BELIAU SUKA KERJANYA

"Saya suka bahasa Inggeris. Sebagai penterjemah, saya berpeluang bertemu dengan ramai orang dari pelbagai negara dan belajar akan budaya mereka," kata Samaneh yang hobinya termasuk bermain gitar dan melukis.

Dilahirkan di Tehran, hub rangkaian komunikasi dan pengangkutan, gadis yang petah berkatakata ini suka tinggal di bandaraya ini walaupun kehidupan di situ bukanlah mudah.

"Saya terpaksa mengharungi pencemaran tetapi saya masih suka tinggal di sini kerana ini tempat kelahiran saya.

"Kehidupan yang saya lalui sekarang ini ialah hasil daripada apa yang saya usahakan selama ini. Saya ke universiti, saya bermain muzik, saya lakukan apa yang saya mahu, saya menikmati kebebasan.

"Tetapi mungkin matlamat saya berlainan daripada wanita lain di negara ini. Mereka mungkin mempunyai matlamat lain dan oleh itu mereka rasa tiada kebebasan," kata beliau apabila ditanya bagaimana rasanya untuk tinggal di Iran dan bagaimana kedudukan wanita di negara ini.

ADAKAH WANITA RAGU BEKERJA DALAM SEKTOR YANG DIDOMINASI LELAKI

Bagi ahli psikologi Maryam Namayeshi, 40, tiada perbezaan jika bekerja dengan lelaki atau wanita.

Maryam yang ditemui semasa penerbangan ke Assaluyeh, perjalanan satu setengah jam dari Tehran menjelaskan kerjanya ialah untuk memberi kaunseling kepada lelaki, wanita dan keluarga mereka.

Assaluyeh merupakan 'dunia lelaki', apabila anda melangkah keluar dari lapangan terbang apa yang anda lihat ialah lelaki, lelaki dan lebih ramai lelaki. Tetapi ini jelas tidak memberi kesan kepada Maryam. Maryam yang bertugas dengan Pars Oil and Gas Company (POGC) di Iran ke Assaluyeh, satu bandar di selatan Iran, untuk menyampaikan kaunseling dan menjalankan bengkel bagi kakitangan POGC dan keluarga mereka di situ.

Maryam berkata kebanyakan daripada lelaki yang bekerja dalam sektor gas sudah berkeluarga tetapi meninggalkan keluarga masing-masing apabila datang bekerja di situ.

"Mereka boleh mengalami kemurungan apabila berjauhan dari keluarga untuk tempoh yang lama dan ini boleh menimbulkan masalah besar lebih-lebih lagi tempat itu merupakan satu kawasan industri, dengan tidak banyak kemudahan seperti di bandaraya.

"Pada waktu-waktu seperti ini mereka memerlukan kaunseling. Kebanyakan daripada aduan berkaitan dengan kemurungan," kata beliau.

"Saya tidak menghadapi sebarang masalah berhubung kerja saya di sini," kata Maryam sambil menuding ke arah hijab yang dipakainya beliau berkata, "ini sesuatu yang saya pakai sebagai wanita Islam, ia tidak menjejaskan kerja saya".

DI IRAN, WANITA DAN LELAKI BEKERJASAMA

Anggota Parlimen Dr Zahreh Elahiar berkata hanya terdapat lapan anggota Parlimen wanita di Iran tetapi ini tidak menjadi masalah kerana mereka mempunyai sokongan anggota Parlimen lelaki.

Beliau berkata rakyat Iran percaya wanita harus dilantik sebagai wakil rakyat berdasarkan kepada keupayaan mereka dan bukan mengikut sistem kuota.

Hakim Dr Fatemah Bodaghi berkata selepas revolusi Islam banyak perubahan berhubung institusi keluarga dan wanita berlaku, dengan pencapaian utama ialah penubuhan Mahkamah Keluarga dengan hakimhakim wanita ditugaskan menjaga hal ehwal wanita.

Selepas revolusi itu, beberapa perubahan dilaksanakan seperti memberikan hak kepada wanita untuk memfail penceraian dalam keadaan tertentu sebagai contoh jika suami mereka dipenjarakan dan wanita boleh menuntut "separuh daripada harta" selepas bercerai, katanya.

Dr Fatemah berkata terdapat peningkatan dalam bilangan hakim wanita di Iran selain wanita kini mempunyai pelbagai peranan dalam masyarakat. Undang-undang Islam diperkenalkan dalam sistem perundangan Iran ekoran revolusi Islam pada 1979.

MEMPERKASA WANITA LUAR BANDAR

Iran juga terus berusaha untuk memperkasa kedudukan wanita luar bandar, dengan memperkenalkan skim kredit mikro untuk membolehkan mereka memulakan aktiviti menjana pendapatan dan dengan perlahanlahan berdikari.

Menteri Penasihat bagi Hal Ehwal Wanita Luar Bandar Dr T Daniali berkata, pinjaman kecil diberi bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan atau mempertingkatkan perusahaan sedia ada.

"Pengalaman menunjukkan capaian wanita kepada sumber pendapatan bukan sahaja membawa kepada peningkatan dalam kehidupan individu dan keluarga, malahan kesan positif kepada komuniti, ekonomi tempatan dan kebangsaan," tambah beliau.

Beliau berkata, antara keputusan positif itu ialah kecenderungan yang lebih ke arah celik huruf, tahap kebersihan tempatan dan keluarga dan peluang untuk merealisiasi dengan lebih baik potensi mereka.

ADAKAH WANITA DI IRAN AKTIF BERSUKAN

Pegawai Perhubungan Raya Englab Sports Complex International Marjan Massoudi berkata berbanding 15 tahun yang lepas bilangan wanita Iran yang bersukan telah meningkat.

"Sedikit demi sedikit wanita mula bersukan memandangkan mereka kini mempunyai lebih kesedaran terhadap kesihatan," katanya. Kompleks Sukan Englab yang terletak di kawasan seluas 84 hektar dikelilingi oleh kehijauan. Antara lain, ia mempunyai sebuah padang golf, sebuah lorong boling, kolam renang tertutup berasingan bagi lelaki dan wanita, sebuah kelab kecergasan, kelab 'paintball', kelab snuker, akademi luncur ais dan kafeteria dan kemudahan perbankan.

Bagi mereka yang tidak berminat dalam mana-mana sukan ini, mereka boleh bersiar-siar di pejalan kaki sepanjang 2,590 meter yang juga sesuai bagi mereka yang sudah berusia dan kurang sihat, kata Marjan.

Dari bidang politik, kehakiman, kerjaya hinggalah sukan, kehadiran wanita Iran terus dirasai.

Ia mungkin bukan suatu yang mudah tetapi wanita Iran bertekad untuk berganding bahu dengan kaum lelaki demi manfaat Republik Islam Iran, sebuah negara dengan penduduk seramai 70 juta yang menjiwai nilainilai Islam. BERNAMA

Artikel Lain