suria

Ada 5 pilihan cara nak hilangkan bau durian dalam kereta, lepas ni dah boleh borong bawa balik rumah

Bau durian dalam kereta sememangnya tidak menyenangkan.

MUSIM buah buahan tiba lagi!

Semestinya durian menjadi antara buah yang paling dicari peminatnya.

Tidak dinafikan raja segala buah ini sedap dan unik rasanya tetapi bau yang ditinggalkan mampu buat kebanyakan kita pening kepala.

Lebih-lebih lagi sekiranya durian diletakkan di dalam but kereta untuk dibawa pulang ke rumah, pasti 'melekat' baunya selama berhari-hari.

Terdapat lima petua atau tip yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut:

1. Serbuk kopi

Bungkus serbuk kopi dalam kain atau gunakan kopi uncang dan letakkan di dalam kereta.

Aroma dikeluarkan kopi akan menyerap segala bau durian atau segala jenis bau busuk lain dalam kereta.

Biji kopi juga biasanya digunakan oleh jurujual minyak wangi berjenama untuk meneutralkan bau pada hidung sebelum menghidu minyak wangi yang akan mereka sembur pada anda untuk dicuba.

2. Cuka

Letakkan semangkuk cuka dalam but kereta sebelum ditinggalkan kereta bertutup.

Bau cuka yang sifatnya berasid boleh menghilangkan bau durian.

Cuka juga berfungsi untuk mengelakkan kucing membuang najis di kawasan kereta kerana baunya.

Tip ini boleh mengelakkan kita daripada terkena najis kucing di sekitar kereta sebelum menaiki kenderaan.

3. Roti putih

Ambil beberapa keping roti putih (tak kira apa jenama) dan letakkan di dalam kereta anda selama dua hari.

Roti berfungsi menyerap segala bau yang ada dan selepas dua hari roti tersebut akan mengeras.

4. Arang

Kalau di rumah tiada roti, boleh gunakan arang untuk ditinggalkan dalam kereta.

Arang berfungsi untuk menyerap bau dalam kereta selepas ditinggalkan beberapa hari.

Bahan bakar tersebut masih boleh digunakan untuk membakar atau majlis barbeku (BBQ) setelah dikeluarkan dari kereta.

5. Daun-daun tumbuhan

Balut durian dengan daun ubi kayu, betik atau pandan atau apa-apa daun yang boleh menutup buah.

Melalui kaedah ini, bau tersebut akan dapat diserap oleh daun itu terlebih dahulu.

Satu lagi cara adalah dengan membungkus dahulu buah durian sebelum dimasukkan ke dalam kereta dengan beberapa lapis bungkusan beg plastik yang diikat dengan kemas. - CARETA

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain