suria

Dah diwajibkan pun masih degil enggan pakai pelitup muka... Nak tegur ada caranya, bukan terus melenting!

Memakai pelitup muka dapat membantu mengurangkan penularan Covid-19 terutamanya di tempat awam.

UMUM mengetahui sejak 1 Ogos lalu kerajaan Malaysia telah mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam yang sesak serta pengangkutan awam.

Meskipun mereka yang ingkar akan dikenakan tindakan tegas seperti kompaun dan dihadapkan ke mahkamah namun masih ada segelintir yang berdegil dan enggan memakai pelitup muka.

ARTIKEL BERKAITAN: 5 kesalahan mencuci tangan yang sering dilakukan walaupun dah berulang kali dipesan!

Ini termasuklah ketika berada di restoran yang penuh dengan pelanggan ketika menunggu pesanan atau ketika bersiar-siar di taman yang kebiasaannya ramai kanak-kanak.



Sejak dikuatkuasakan, ramai patuh memakai pelitup muka.

Rata-rata anggota masyarakat hanya akan buat tak tahu apabila melihat situasi itu kerana enggan timbul perselisihan faham, namun sebenarnya ada cara untuk menegur individu yang tidak memakai pelitup muka.

Pakar perilaku manusia Universiti Auburn Amerika Syarikat, Jan Kavookjian menyarankan teguran boleh dilakukan secara berhemah yakni tidak dengan cara kasar atau mengejut kerana ia boleh membuatkan si pelaku berasa malu dan bersikap defensif.

Jan memberitahu teguran itu sebenarnya tidak salah namun mereka boleh rasa terganggu dengan cara didekati membuatkan mereka enggan mendengar nasihat dan melepaskan kemarahan.

"Menegur dan menerangkan sebab perlu memakai pelitup muka di tempat awam dengan cara baik dapat mengubah pandangan seseorang ketika menerima teguran.



Memakai pelitup muka bukan sahaja dapat selamatkan diri tetapi orang di sekeliling kita.

"Jangan membuta-tuli memarahi kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah dan hanya membuatkan mereka berasa terancam," ujarnya.

Sementara itu, pakar etika, Diane Gottsman pula memberitahu sekiranya kita berada di restoran atau kedai, cara terbaik adalah meminta petugas atau penyelia menegur individu yang tidak memakai pelitup muka.

"Ia bukan tanggungjawab kita untuk menegur mereka tetapi petugas di tempat di mana anda berada," jelasnya.

Diane juga memberitahu pemilihan ayat ketika menegur juga sangat penting kerana ia boleh mempengaruhi seseorang seperti "Demi keselamatan anda dan saya, saya rasa lebih selesa jika kita berdua memakai mask".

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain