MENU berasaskan daging lembu dianggap lebih sukar untuk dimasak berbanding ikan atau ayam.
Ia berikutan tekstur daging itu yang keras dan liat, sekali gus memerlukan teknik masakan yang sedikit berbeza.
Malah ramai juga pengguna media sosial yang berkongsi pelbagai petua masakan untuk melembutkan daging lembu.
Sekitar tahun 2018, pernah tular satu perkongsian mengenai gula-gula berangin yang digunakan untuk melembutkan daging lembu.
Cara ini dikatakan mampu melembutkan daging dalam tempoh singkat.
Walaupun sudah lama berlalu, rasanya tidak salah untuk kita mencuba keberkesanan petua berkenaan.
"Saya nak bagi petua lembutkan daging lembu atau kerbau yang kita dapat masa hari raya korban.
"Petua daripada seorang sahabat tukang masak makanan Siam dari Thailand. Letakkan sebiji gula-gula Hacks dalam masakan.
"InsyaAllah daging akan lembut. Jadi tak payah nak rebus lama-lama," tulis individu itu.
Bagaimanapun, anda mungkin boleh menambah bilangan gula-gula itu mengikut kuantiti daging yang dimasak.
"Jangan risau, tak ada rasa gula-gula Hacks dalam masakan kita. Selamat mencuba," tulis individu itu lagi.