SETIAP kali tibanya Aidiladha, maka banyaklah menu berasaskan daging disajikan di kebanyakan rumah.
Namun, ramai individu berdepan masalah untuk menunggu lama tekstur daging yang dimasak menjadi lembut dan tidak liat.
Di aplikasi TikTok, beberapa netizen tampil berkongsi petua yang diamalkan mereka untuk melembutkan daging.
Seorang pelayar dikenali sebagai Della Dayla berkongsi cara mudah melembutkan daging tanpa perlu menggunakan periuk tekanan.
Cara-cara:
1. Rebus daging selama lima minit.
2. Kemudian tutup api dan biarkan selama 30 minit.
3. Selepas itu, rebus lagi selama tujuh minit.
Dengan mengikuti tiga langkah mudah ini, daging anda bukan sahaja tidak liat, malah semakin mudah untuk dicarik dan dipotong.
Selain itu, seorang lagi pelayar TikTok dikenali sebagai Pak Man turut berkongsi tutorial melembutkan daging lembu menggunakan serbuk penaik.
Memasak daging lembu memerlukan teknik yang berbeza berbanding masakan berasaskan ayam atau ikan. -Gambar hiasan
Cara-cara:
1. Gaul daging yang sudah siap dipotong menggunakan baking soda dan perapkan seketika.
2. Cara kedua, boleh juga gaulkan daging yang siap dipotong dengan cuka dan perap kira-kira 30 minit.
Menurut Pak Man, kedua-dua cara ini sangat membantu untuk melembutkan daging sebelum dimasak.
Seorang lagi pelayar TikTok, Nurul Wanie turut berkongsi teknik 'mati air' yang diamalkannya untuk melembutkan daging.
Cara-cara:
1. Sangai daging (goreng tanpa air dan tanpa minyak).
2. Tutup periuk, guna api kecil dan biarkan air daging keluar.
3. Selepas air daging keluar, kacau daging dalam periuk dan tutup semula penutupnya sehingga air kering.
4. Selepas air daging kering, daging juga akan bertukar lembut. Jadi ia sudah boleh diangkat.
5. Kemudian, boleh panaskan minyak dan terus tumis bahan-bahan untuk daging yang ingin dimasak.