suria

Asnaf, gelandangan sekitar Chow Kit dirai dalam program mStar Baek & KPJ Healthcare... Klinik bergerak diserbu!

Hampir 600 asnaf termasuk gelandangan diraikan dalam program 'Ziarah Jalinan Kasih' di Lorong Haji Taib, Selasa malam.

GELANDANGAN yang sering kita lihat menghabiskan masa di tepi-tepi jalan kerana tiada kediaman sendiri semestinya menyimpan pelbagai kisah duka dalam kehidupan masing-masing.

Mereka yang berlindung daripada hujan dan panas di ruang sempit serta tidak sempurna kerana berdepan kesukaran hidup tentu sekali mengharapkan ada tangan yang sudi menghulur bantuan.

Menyedari golongan ini memerlukan perhatian serta perlu dibantu, portal hiburan dan gaya hidup mStar bersama pasukan KPJ Healthcare turun padang bagi menyantuni mereka menerusi program Ziarah Jalinan Kasih di Lorong Haji Taib 2, Chow Kit, Kuala Lumpur  pada Selasa malam.

Aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini adalah kerjasama antara mStar dengan KPJ Healthcare yang telah menerbitkan program mStar Baek, menyantuni golongan memerlukan seperti Orang Kurang Upaya (OKU) serta artis dan selebriti yang mengalami penderitaan hidup.

Final shooting mStar Baek with gelandangan at Chow Kit—Low Boon Tat / The Star

Chin Keat Chyuan (tiga, kanan) menyampaikan sumbangan kepada asnaf.

Pada majlis ini pihak KPJ Healthcare dan mStar berkerjasama meraikan kira-kira 600 asnaf termasuk gelandangan yang dikenali sebagai ‘sahabat jalanan’ dalam majlis jamuan hari raya, walaupun bulan Syawal telah berlalu.

Ketua Pengarang Berita mStar, Niezam Abdullah berkata, Ziarah Jalinan Kasih ini merupakan satu projek khas bersama pihak KPJ Healthcare untuk menyantuni sahabat jalanan yang hidup dalam keadaan tidak sempurna seperti orang lain.

ARTIKEL BERKAITAN: mStar dan KPJ Healthcare bawa klinik bergerak santuni gelandangan menerusi program Jalinan Kasih Prihatin mStar Baek

Projek amal antara dua jenama ini sudah memasuki tahun kedua setelah kerjasama kali pertama pada 2024 mendapat sambutan memberangsangkan.

"Dalam sesi ini, golongan berkenaan mendapat banyak manfaat termasuklah mereka diberi peluang memperoleh pemeriksaan kesihatan percuma yang disediakan pihak KPJ menerusi klinik bergerak.

"Di pihak mStar pula, kami memberikan publisiti dalam usaha memupuk kesedaran masyarakat agar terus membantu golongan memerlukan tanpa mengira latar belakang mereka,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Chin Keat Chyuan yang turut turun padang pula berkata, pihaknya sentiasa komited menawarkan akses kesihatan terutamanya kepada golongan yang sangat memerlukan.

Final shooting mStar Baek with gelandangan at Chow Kit—Low Boon Tat / The Star

Chin Keat Chyuan (tiga, kiri) bersama Tung Eng Hwa (tiga, kanan), Zaharuddin Alias (kiri) dan Mohd Azhan Mohd Adnan (dua, kanan) bersama mereka yang terlibat dalam program Ziarah Jalinan Kasih.

"Tanpa kebanyakan kita tahu, ramai orang susah nak dapatkan rawatan walaupun ia hanya penyakit yang biasa. 

“Sebab itu KPJ Healthcare komited bersama mStar dan Bank Muamalat membawakan akses khidmat kesihatan kepada golongan yang memerlukan.

Final shooting mStar Baek with gelandangan at Chow Kit—Low Boon Tat / The Star

Antara individu yang mendapatkan pemeriksaan kesihatan percuma di Klinik Bergerak Wakaf Selangor Muamalat.

“Setiap bulan klinik bergerak akan berada di Lorong Haji Taib untuk menyediakan kemudahan pemeriksaan rawatan kepada penghuni dan kita harapkan penghuni di sini ambil peluang mendapatkan rawatan itu,” ujarnya yang turut turun padang menyantuni golongan asnaf dan gelandangan di sekitar Lorong Haji Taib 2.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi KPJ Healthcare, Datuk Mohamad Farid Salim,  Ketua Jabatan Kewangan Sosial Bank Muamalat, Zaharuddin Alias, Editor Eksekutif Kumpulan Media Star, Tung Eng Hwa dan aktivis Pertubuhan Jejak Jalanan, Mohd Azhan Mohd Adnan.

Final shooting mStar Baek with gelandangan at Chow Kit—Low Boon Tat / The Star

Niezam Abdullah (kiri) turut menyantuni asnaf dan gelandangan ketika majlis jamuan makan.

Majlis dimulakan dengan sesi khidmat nasihat kesihatan kepada para gelandangan oleh Dr Syafiruz Afira Saleh Hudin serta persembahan nyanyian oleh Fendi (Caliph Buskers) dan bekas atlet paralimik yang kini menjadi penyanyi jalanan (buskers) iaitu Nurul Shakina Abdullah Teh.

Selain itu, sesi pemeriksaan kesihatan melalui klinik bergerak turut diadakan untuk membolehkan golongan ini mendapat nasihat kesihatan secara percuma daripada doktor yang disediakan oleh pihak KPJ Healthcare.

Final shooting mStar Baek with gelandangan at Chow Kit—Low Boon Tat / The Star

Pelbagai juadah disajikan untuk meraikan asnaf dan gelandangan sekitar Lorong Haji Taib 2, Chow Kit.

Untuk rekod, program mStar Baek musim ketiga diterbitkan untuk siaran di semua platform video dan media sosial mStar selama lapan minggu bermula awal Ramadan lalu, menyaksikan liputan mengenai kisah hidup bintang sukan, gelandangan, orang awam, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan.

Selain Fendi dan Nurul Shakina yang turut mendapat manfaat dalam program mStar Baek ini, penerima lain termasuklah bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azman Adnan; bekas penyampai radio, Kieran; dan penjual kerepek yang merupakan OKU fizikal, Mohammad Saad Habizal.

Sehingga kini, program mStar Baek mendapat respons positif daripada penonton apabila ia berjaya mencecah lima juta tontonan di semua plaform digital mStar. 

Final shooting mStar Baek with gelandangan at Chow Kit—Low Boon Tat / The Star

'Team' mStar - KPJ Healthcare yang turut terlibat menjayakan program CSR mStar Baek dengan turun padang menyantuni golongan asnaf serta gelandangan.

Angka itu dijangka meningkat kepada lebih 10 juta tontonan apabila kesemua rakaman program itu selesai disiarkan yang dijangka pada akhir Mei ini.

Kerjasama mStar Baek dan KPJ Healthcare ini turut menyaksikan para penerima mendapat sumbangan wang tunai RM3,000 serta rawatan perubatan percuma oleh doktor yang dibawa menyantuni mereka bagi mendapatkan khidmat nasihat kesihatan.

Pihak KPJ Healthcare juga menyediakan kad rawatan perubatan bagi membolehkan mereka dan seisi keluarga melakukan pemeriksaan kesihatan percuma di Klinik Waqaf An-Nur (KWAN) selama setahun.

Artikel Lain