suria

Ini sebab kenapa ibu bapa kena memilih prasekolah, jangan ikut cakap orang... Keselamatan anak-anak penting!

Langkah keselamatan yang ditetapkan KPM perlu diikuti premis prasekolah. -Gambar hiasan

KANAK-KANAK berumur empat hingga enam tahun kebiasaannya akan dihantar ke prasekolah sebagai persediaan sebelum memasuki alam persekolahan sebenar.

Namun begitu, iba bapa perlu lebih peka agar premis prasekolah yang dihadiri anak-anak mereka berdaftar di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Prasekolah yang diiktiraf KPM akan melalui proses penyeliaan yang ketat untuk memastikan segala keperluan keselamatan dipatuhi sesebuah premis itu.

Prasekolah mempunyai langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil. (Gambar hiasan, Freepik)

Antara ciri-ciri keselamatan utama yang perlu ada pada sebuah premis prasekolah adalah pemasangan penggera pengesan asap, kamera litar tertutup (CCTV) dan lampu kecemasan.

Berdasarkan perkongsian oleh seorang ibu yang prihatin di laman Twitter, Mieja Ibrahim berkata ada banyak faktor keselamatan yang perlu diikuti premis prasekolah tetapi ramai ibu bapa yang terlepas pandang akan hal ini.

Oleh itu, adalah lebih mudah untuk hanya menghantar anak ke prasekolah yang sudah diiktiraf KPM kerana syarat-syarat keselamatannya.

Semakan status pendaftaran prasekolah boleh dibuat di laman sesawang KPM.

Jadi, bagaimanakah caranya untuk menyemak status pengesahan prasekolah di bawah KPM?

Caranya adalah dengan menyemak status dari KPM iaitu kebenaran untuk beroperasi melalui laman sesawang eprasekolah.moe.gov.my .

Sesebuah premis prasekolah itu juga haruslah mempunyai tangga kecemasan di belakang untuk memudahkan proses kanak-kanak keluar jika berlakunya kejadian yang tidak diingini.

Selain itu, premis prasekolah tidak dibenarkan untuk berada di lot tengah deretan rumah kedai dan hanya lot tepi (corner lot) sahaja yang dibenarkan.

Syarat-syarat keselamatan yang perlu ada pada sesebuah premis prasekolah.

Seterusnya premis prasekolah juga tidak boleh berada di atas restoran dan kafe yang mempunyai gas memasak.

Disertakan di bawah lampiran ciri-ciri keselamatan yang ditekankan oleh KPM untuk dipatuhi pihak pengurusan prasekolah.

Mulai hari ini, ayuh kita periksa semula sama ada prasekolah yang dihadiri anak kita sudah didaftarkan di bawah KPM atau belum.

Ingat, ini melibatkan keselamatan dan nyawa anak-anak kita, jangan tunggu sehingga nasi sudah menjadi bubur baru hendak cakna. - Mieja Ibrahim

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain